Selasa, 3 November 2009

Mahfuz pertikai KSN siasat laporan audit negara

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempertikai keputusan kabinet melantik ketua setiausaha negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengetuai jawatankuasa khas untuk menyiasat semula laporan ketua audit negara 2008.

Membahaskan Bajet 2010 malam semalam, Mahfuz menegaskan bahawa perlantikan KSN adalah tidak wajar kerana beliau merupakan penjawat tertinggi dalam sektor awam sendiri.

"Melantik ketua setiausaha (negara) mengetuai suatu pasukan khas tidak menyelesaikan masalah sebab dia (KSN) tidak ada hak sebenarnya."

"Dia (KSN) adalah Ketua Sektor Awam yang diaudit oleh (Juru) Audit Negara...Ianya semacam selepas polis dah siasat orang yang didakwa berpesalah, selepas itu, orang itu ajak polis mari kita mesyuarat dan putus siapa patut kita dakwa,"

Beliau yang juga naib presiden PAS mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah kuasa Parlimen dibentuk demi mengenal pasti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perbelanjaan kerajaan sebagaimana yang terdapat dalam laporan audit itu.

"Oleh kerajan belanjawan ini diluluskan oleh Parlimen, maka auditnya juga mesti diletakkan di bawah Parlimen. Maka, perlu suatu jawatankuasa khas perlu dibentuk sama ada yang baru atau PAC untuk menyemak belanjawan ini."

Beliau juga menegur kerajaan kerana merancang bajet yang didakwa mengelirukan dan mempermainkan emosi rakyat.

"Saya nak tunjuk mana bajet yang permain emosi rakyat, umpamanya keretapi 50 peratus (atau) separuh harga untuk pelajar sekolah sedangkan siapa nak pergi sekolah jauh-jauh naik keretaapi. Kalau ada pun, dari Kuala Krai ke Gua Musang," jelasnya lagi.

"Ia (bajet) digambarkan media seperti sesuatu yang besar untuk rakyat padahal rakyat keseluruhannya tidak dapat apa-apa manfaat."

Mahfuz juga mempertikaikan perbelanjaan untuk perkhidmatan kesihatan yang didakwa tidak menepati keperluan sebenar.

"Sedangkan keperluan yang sebenar adalah membantu para pesakit kritikal yang memerlukan kos perubatan yang tinggi. Kekurangan mesin hemodialisis untuk bersih darah oleh pesakit-pesakit buah pinggang, kalau boleh percuma kerana kos perubatan para pesakit kronik ini cukup tinggi dan membebankan," tegasnya.

Sebelum pada itu, KSN mengaku perlantikannya itu dibuat oleh kabinet untuk menyiasat semula beberapa laporan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang 19 Oktober lalu di Parlimen.

Laporan itu termasuk kemungkinan kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Rawang - Ipoh.

Ambrin juga berjaya mengesan beberapa transaksi yang meragukan, seperti Mara membeli dua komputer riba bernilai RM80 ribu, sedangkan harga pasaran sekitar RM4,500 sahaja.

Selain itu, Mara juga membeli komputer meja berharga RM7,600 seunit sedangkan harga pasaran komputer meja yang berkapasiti tinggi sekitar RM2,000 sahaja.

Ambrin juga mendedahkan Kementerian Pelajaran telah berbelanja RM60 ribu untuk pembekalan, menanam dan menyelenggara suatu taman di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Puteh, Kelantan, yang didakwa meragukan.

Tambah Ambrin lagi, kementerian terbabit juga didakwa menyeleweng dalam pembelian 13 pokok kemboja dan 12 pokok pinang merang, yang masing-masing bernilai RM4,500 dan RM9,000.

Tahun 2006 lalu, laporan audit negara menggemparkan Parlimen apabila Institut Kemahian Beliau Negera (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan telah membeli sebutir skru bernilai RM224.94, sedangkan harga pasaran skru tersebut sekitar RM40 sahaja. Sekiranya pendedahan-pendedahan tersebut tidak ditangani segera, ianya sekali gus menjadikan rakyat semakin tidak percaya dengan ketelusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam menanani rasuah dan penyelewengan kuasa._

Tiada ulasan: