Isnin, 9 November 2009

Litar pintas punca KD Seri Inderapura terbakar

BERNAMA


BAGAN DATOH: Kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Seri Inderapura terbakar pada 8 Oktober lalu di jeti Pangkalan TLDM di Lumut akibat daripada lintar pintas, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pasukan penyiasat mengenal pasti punca kebakaran daripada kerosakan sistem pendawaian kerana kapal itu berusia 40 tahun.

Katanya, kementerian itu mempunyai pilihan sama ada kapal terbabit akan dijadikan sebuah lagi Muzium TLDM atau dijual sebagai peralatan terpakai.

“Bagaimanapun, kementerian akan mendapat nasihat daripada Jabatan Audit Negara mengenai pilihan yang akan dilakukan,” katanya selepas Program 1Malaysia di sini, semalam.

Katanya, usaha untuk menggantikan kapal itu sedang dijalankan dan kementerian sedang mengenal pasti kapal pelbagai guna yang akan diperoleh sama ada dari Korea Selatan, Perancis atau Jerman.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mengenal pasti kapal yang setaraf dengannya dari negara lain namun keutamaan akan diberi kepada kapal yang baru.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan membeli kapal baru yang akan menggantikan KD Seri Inderapura menerusi tender terbuka atau terpilih serta akan berhubung terus dengan syarikat pengeluar kapal itu tanpa menggunakan khidmat ejen tempatan seperti amalan biasa.

Katanya, kos pembelian kapal akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan atas permintaan yang diajukan oleh Kementerian Pertahanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan.

“Oleh kerana pembinaan kapal baru akan mengambil masa dalam tempoh 48 hingga 60 bulan, persiapan awal dilakukan untuk menggantikan KD Seri Inderapura yang terbakar,” katanya.

Katanya, ketika lawatan kerja ke Korea Selatan baru-baru ini, beliau berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu; mereka bersetuju untuk memberikan kapal mempunyai fungsi yang sama yang boleh digunakan TLDM untuk beberapa waktu sebelum kapal baru diperoleh.

“Pemberian ini adalah sebagai tanda persahabatan yang akrab dan keprihatinan antara Malaysia dengan Republik Korea Selatan," katanya. - Bernama

Katanya, cadangan untuk menenggelamkan KD Seri Inderapura sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Sembilan telah dibatalkan kerana kapal itu terlalu besar dan dikhuatiri akan dilanggar oleh kapal lain yang melalui di kawasan terbabit.

Tiada ulasan: