Jumaat, 13 November 2009

Lima beranak minum racun akibat kecewa

BERITA HARIAN ONLINE


KLANG: Kecewa dengan kematian adik lelaki yang ditembak polis dalam satu serbuan awal pagi Ahad lalu, seorang suri rumah dan empat anaknya nekad menelan racun rumpai di rumah mereka di Jalan Batu 1/2, Jalan Kapar dekat sini, semalam.

Suri rumah, R Sheetha, 32, dan empat anaknya, M Darsini, M Usarani, M Kugan dan M Navina yang berusia antara tiga hingga lapan tahun, dikatakan berbuat demikian untuk bertemu dengan adiknya semula.

Perbuatan itu disedari adik perempuannya, R Parvathy, 31, yang tinggal berhampiran rumah mangsa kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Mereka kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kapar oleh ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan, tetapi kerana keadaan kritikal, mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Sheetha kini dirawat di Wad Kritikal HTAR manakala dua anaknya, Darsini dan Kugan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala Usarani dan Navina dirawat di Wad Kanak-Kanak hospital itu.

Berita Harian difahamkan, Sheetha sangat rapat dengan adiknya, seorang daripada suspek yang dipercayai terbabit dalam satu kumpulan penjenayah PCO Boy yang ditembak mati di Jalan Sungai Keramat, Kapar, 8 November lalu.

Bapa Sheetha, R Ramphaty, 61, ketika ditemui di HTAR, berkata beliau tidak menyangka anaknya nekad membunuh diri dan turut mengajak empat cucunya berbuat demikian.

"Hubungan mereka sangat rapat sehingga dia tidak dapat menerima kenyataan pemergian adiknya.

"Sejak kematian adiknya, Sheetha sering menatap gambar adiknya dan saya pernah terdengar dia berkata pada empat anaknya, jika mereka ingin berjumpa dengan bapa saudara mereka, caranya hanya dengan minum racun," katanya.

Tiada ulasan: