Isnin, 16 November 2009

Lebih RM5 juta diperuntuk bantu pesawah terjejas

BERITA HARIAN ONLINE


JITRA: Kerajaan dijangka membelanjakan lebih RM5 juta untuk membayar bantuan kepada pesawah berikutan kerosakan padi di kawasan seluas 9,458 hektar akibat banjir yang melanda negeri ini dan Perlis sejak lebih seminggu lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata ia berdasarkan kepada peruntukan sebanyak RM573 sehektar kawasan padi yang ditenggelami banjir.

Beliau berkata, dalam kejadian banjir itu sebanyak 4,954 hektar kawasan padi adalah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), manakala 4,504 hektar lagi sawah di kawasan Mada.

"Bagi setiap hektar, pesawah akan mendapat bantuan baja bernilai RM213, perataan tanah RM192 dan benih bernilai RM168 menjadikannya semuanya bernilai RM573 bagi setiap hektar.

"Dengan bantuan yang disalurkan itu kerajaan berharap pesawah akan menanam semula padi selepas keadaan pulih sehingga 15 Disember ini.

"Dalam hal ini Mada akan memberi kerjasama untuk membuka saliran air bagi membolehkan pesawah mengerjakan semula kawasan yang terjejas," katanya selepas melawat kawasan padi yang ditenggelami air di Kampung Budi, Teluk Malik di sini, semalam.

Sementara itu, Mohd Johari berkata, sebanyak RM2.2 bilion diperlukan bagi projek membaik pulih dan menaik taraf sistem pengairan di kawasan Mada dan ia akan dibentangkan bagi membolehkan ia dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti.

"Kita harap dalam RMK-10 nanti akan ada sejumlah peruntukan bagi membolehkan kita melaksanakan projek ini secara berperingkat.

"Projek naik taraf dan membaik pulih sistem pengairan ini mesti dilaksanakan kerana sistem pengairan Mada ketika ini sudah jauh ketinggalan berbanding di kawasan lain di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: