Khamis, 19 November 2009

Lebih 70 orang terkandas di Bukit Bendera

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Lebih 70 orang termasuk pelancong asing di Bukit Bendera terkandas selama 45 minit semalam selepas perkhidmatan kereta api kabel terhenti ekoran sebatang pokok tumbang menimpa landasan tersebut.

Dalam kejadian pada pukul 7.55 malam itu, semua penumpang terbabit sedang menunggu giliran menaiki kereta api untuk turun ke kaki bukit.

Kejadian itu dipercayai berlaku berikutan kekerapan hujan yang tidak berhenti sejak kebelakangan ini sehingga pergerakan tanah berlaku berhampiran laluan kereta api itu menyebabkan sebatang pokok tumbang di atas landasan.

Ekoran kejadian itu, kesemua mangsa dibawa turun secara bergilir-gilir oleh pasukan menyelamat menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda yang disediakan oleh pihak pengurusan.

Difahamkan, sepasukan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Perak juga dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu semua mangsa yang terkandas.

Kerja-kerja membersihkan landasan tersebut selesai pada pukul 3.15 pagi ini dan perkhidmatan kereta api kabel itu beroperasi seperti biasa hari ini.

Tiada ulasan: