Selasa, 10 November 2009

Kumpul data banjir dengan tepat - Muhyiddin

UTUSAN ONLINE


ISTANBUL - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu jabatan kerajaan yang berkaitan mengumpulkan maklumat tepat berhubung situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini untuk memastikan kelicinan penyampaian bantuan susulan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, data yang lengkap akan mempercepatkan proses pemberian bantuan kepada mangsa banjir apabila mereka membuat tuntutan selepas bencana itu pulih.

Beliau meminta mangsa dan agensi yang terlibat supaya bekerjasama dengan menyampaikan maklumat yang betul terutama bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

''Kita mahu memastikan data yang hendak kita gunakan itu dikumpulkan dengan lengkap kerana biasanya selepas banjir, ada tuntutan dibuat oleh pihak kerajaan negeri dan mangsa untuk mendapatkan bantuan pemulihan kehidupan mereka.

''Oleh itu pendaftaran mangsa perlu dibuat dengan betul supaya selepas ini kita boleh mempercepatkan proses pemberian bantuan,'' katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Jawatankuasa Kerja Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Pertubuhan Persidangan Islam (COMCEC).

Banjir yang melanda Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri di Utara Semenanjung telah menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan selain beberapa buah sekolah terpaksa ditutup di beberapa jajahan di Kelantan.

Muhyiddin menegaskan, apa yang penting di peringkat ini adalah memastikan keselamatan nyawa penduduk yang terlibat.

''Penduduk yang terlibat perlu mendahulukan aspek keselamatan termasuk mematuhi setiap nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,'' tegasnya.

Tambahnya, kerajaan akan berusaha memastikan keperluan lojistik dapat disampaikan dengan segera supaya mangsa tidak berhadapan dengan masalah.

''Sekarang ini sudah digerakkan operasi untuk memantau dan menyelamat di kawasan terlibat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengaktifkan usaha ini bersama jabatan berkaitan termasuk agensi kerajaan negeri," jelasnya.

Tiada ulasan: