Khamis, 19 November 2009

KSU Diminta Bertindak Segera Terhadap Pegawai Seleweng Wang Awam

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, ketua jabatan atau ketua eksekutif telah diminta mengambil tindakan segera terhadap pegawai di kementerian, jabatan, agensi atau syarikat mereka yang terlibat dengan kes-kes penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang awam sebagaimana yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Bagi Tahun 2008.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Pasukan Petugas Mengkaji Laporan Ketua Audit Negara bagi Tahun 2008 yang dipengerusikannya telah bersetuju supaya Ketua Audit Negara menulis kepada ketua setiausaha/ketua jabatan/ketua eksekutif yang terlibat bagi meminta mereka mengambil tindakan tersebut dengan segera.

Katanya tindakan itu adalah untuk membuat siasatan lanjut terhadap keskes penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang awam yang telah dikenal pasti dan seterusya mengambil tindakan setimpal terhadap mereka yang terlibat sama ada tindakan disiplin mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993) atau pun mengesyorkan surcaj di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957.

Sekiranya terbukti ia melibatkan kes jenayah, laporan hendaklah dibuat kepada polis (PDRM)atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu adalah penting untuk menerapkan budaya tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam, yang sekaligus menjurus kepada prinsip budaya prestasi tinggi.

Katanya mereka juga perlu memaklumkan hasil siasatan dan tindakan yang telah diambil kepada Ketua Audit Negara dalam tempoh satu minggu hari bekerja dan seterusnya Ketua Aduit Negara akan membentangkan laporanlaporan yang diterima dalam mesyuarat Pasukan Petugas.

Beliau berkata tindakan disiplin boleh diambil terhadap ketua setiausaha kementerian/ketua jabatan/ketua eksekutif yang gagal mengambil tindakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, Mohd Sidek berkata perkara-perkara itu dipersetujui oleh Pasukan Petugas itu pada mesyuarat keduanya yang diadakan pada Khamis, 12 November lepas.

Mesyuarat itu turut bersetuju Jabatan Peguam Negara akan menyediakan garis panduan prosedurprosedur untuk dijadikan panduan oleh ketua setiausaha kementerian/ketua jabatan/ketua eksekutif, katanya.

Prosedur itu perlu bagi memastikan tindakan yang diambil terhadap pihak yang terlibat tidak dicabar di mahkamah, kata Mohd Sidek.

Bagi kes yang melibatkan ketua setiausaha kementerian atau ketua jabatan, katanya surat berkenaan (dari Ketua Audit Negara) akan dihantar terus kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Mohd Sidek berkata kes-kes yang melibatkan kontraktor atau perunding akan dilapor kepada badan profesional berkenaan dan disalinkan kepada Kementerian Kewangan dan juga Pusat Kontraktor, Kementerian Kerja Raya untuk disenaraihitamkan.

"Agensi-agensi tersebut diminta mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan syarikatsyarikat yang disenaraihitamkan tidak diberi kontrak kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: