Isnin, 16 November 2009

Krisis ganggu kelancaran perjuangan UMNO

SINAR HARIAN ONLINE


GOMBAK - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengakui krisis dalaman yang melanda MCA sedikit sebanyak mengganggu kelancaran perjuangan UMNO.

Menurutnya, setelah memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang dan Persidangan UMNO lalu, sokongan terhadap UMNO semakin baik serta pulih.

“Apa yang berlaku sekarang terhadap MCA mengganggu sedikit perjuangan UMNO dan krisis perlu diselesaikan segera,” katanya.

Beliau berkata, selaras perjuangannya, UMNO terus memberi penjelasan kepada rakyat perjuangan sebenar parti itu.

“Pelbagai program yang diaturkan berjalan dengan sempurna dan berterusan agar UMNO menjadi champion of the people seperti yang diarahkan Presiden,” katanya selepas Konvokesyen Sekolah Rendah Islam dan Tadika Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Universiti Islam Antarabangsa, semalam.

Konvokesyen sekolah agama swasta itu yang pernah dinobatkan antara sekolah cemerlang di Selangor oleh Jabatan Pelajaran Negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke-21 disertai 570 pelajar.

Ahmad berkata, perkara yang penting dalam dunia politik adalah mengamalkan politik matang.

“Jika perkara baik kita cakap baiklah dan yang tak baik, kita baiki... Jangan kita hentam kromo dan merapu saja,” katanya.

Menurutnya, ‘kebangkitan semula’ UMNO selaras dengan Gagasan 1Malaysia menggerunkan pembangkang.

“Pembangkang cukup gentar dengan 1Malaysia yang di umumkan Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini,” katanya.

Mengenai bentuk pendekatan yang diambil bagi terus meraih sokongan rakyat pada saat pembangkang mula memainkan peranannya, Ahmad berkata, UMNO mengambil tindakan yang agresif bergantung kepada suasana.

Tiada ulasan: