Ahad, 1 November 2009

Konvensyen Tahunan DAP Johor lulus resolusi hadap ADUN Bentayan ke Jawatankuasa Disiplin

Oleh DESIREE TRESA GASPER


JOHOR BARU: Ahli Dewan Undangan Negeri DAP kawasan Bentayan, Gwee Tong Hian telah dirujuk ke hadapan Jawatankuasa Disiplin parti itu atas dakwaan menyalahgunakan dana yang dikhaskan untuk perkhidmatan sosial bagi tujuan lain.

Pengerusi DAP Negeri, Dr Boo Cheng Hau ketika mengesahkan perkara ini hari ini berkata, keputusan awal Jawatankuasa Negeri untuk merujuk Gwee kepada Jawatankuasa Disiplin telahpun disahkan pada Konvensyen Tahunan DAP di sini hari ini.

Resolusi itu telah diluluskan dengan 59 mengundi bersetuju manakala 14 lagi menentang, katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Jawatankuasa DAP Negeri Johor turut meluluskan undi tidak percaya ke atas Gwee pada 13 September lalu.

Dr Boo menjelaskan bahawa DAP Negeri Johor terpaksa berhadapan dengan masalah ini sejak tiga tahun yang lalu dan satu keputusan muktamad mengenainya perlu dilakukan sekarang.

Dakwaan seperti ini katanya bukan sahaja telah menyebabkan stres di kalangan ahli-ahli DAP di peringkat bawah tetapi juga telah menjejaskan imej parti secara umumnya.Ditanya apakah dengan tindakan ini bakal menyebabkan perpecahan pada DAP Johor, beliau berkata, isu tersebut tidak berbangkit memandangkan 80% daripada perwakilan ke Konvensyen Tahunan DAP Negeri memberi pengesahan kepada tindakan mengadapkan Gwee kepada Jawatankuasa Disiplin.

ADUN Senai, Ong Kow Meng yang turut hadir pada sidang akhbar hari ini berkata, keputusan ini menunjukkan DAP tidak membenarkan perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh mana-mana ahlinya.

Beliau juga menjelaskan ini bukanlah soal hendak memecat Gwee daripada parti tetapi lebih kepada satu pengajaran kepada sesiapa pun termasuklah ADUN berkenaan.

Sementara itu, Gwee ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkembangan terbaru yang dikenakan ke atasnya hari ini.

Ditanya apakah ini akan membuatkannya mengisytiharkan keluar daripada DAP, Gwee menjawab “Saya akan sentiasa menjadi ahli DAP.”

Pada konvensyen yang diadakan hari ini, sejumlah 18 resolusi dibahaskan termasuklah cadangan supaya ahli-ahli hanya menggunakan saluran parti untuk menyelesaikan semua masalah yang berkaitan parti; mendesak agar DAP diberikan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang; mendesak supaya lebih banyak sekolah jenis kebangsaan Cina diwujudkan; mendesak supaya langkah-langkah membanteras jenayah dipertingkatkan; mengurangkan pergantungan ke atas tenaga buruh asing; memberi nafas baru kepada Johor Baru dan mewujudkan infrastruktur yang lebih baik.

DAP juga mendesak supaya satu siasatan segera diadakan untuk menyiasat bagaimana hutan simpan kekal di negeri Johor hanya tinggal 18% dan mendesak supaya Kerajaan Negeri Johor mengambil lebih ramai bukan Melayu ke dalam perkhidmatan negeri.

Malah Konvensyen Tahunan DAP itu juga turut mendesak kerajaan negeri supaya mengazetkan lebih banyak kawasan ibadat, memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini di samping mendesak Majlis Bandaraya Johor Baru menyediakan perkhidmatan shuttle percuma ke kawasan Kompleks CIQ yang baru.

Tiada ulasan: