Khamis, 12 November 2009

Konsert Shah Rukh Khan dijangka 11 Dis.

UTUSAN ONLINE


MELAKA – Bintang filem Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan dijangka mengadakan konsert di Melaka pada 11 Disember ini. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Stadium Hang Jebat di Kerubong yang boleh menempatkan 40,000 penonton akan menjadi lokasi konsert tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, persembahan pelakon dan penghibur itu bergantung kepada kesanggupan mana-mana penaja untuk membiayai kos persembahan.

Beliau juga mempelawa Mamee-Double Decker (M) Bhd. sebuah perusahaan makanan di sini untuk menaja konsert tersebut.

“Jadi kita hanya bergantung kepada Mamee dan pelakon berkenaan sama ada bersetuju atau tidak mengadakan konsert di sini,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Ali memberitahu, Shah Rukh Khan yang menerima gelaran Datuk dari kerajaan negeri sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka ke-70 sebelum ini tidak akan membuka studio perfileman di sini seperti yang dilaporkan.

“Beliau tidak boleh memberi komitmen sepenuh masa sekiranya membuka studio itu di sini sebaliknya menawarkan diri untuk menjadi penasihat sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri sedang mencari pelabur yang berminat membuka studio perfileman di sini dengan menggunakan kepakaran aktor Bollywood itu yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia.

Tiada ulasan: