Jumaat, 6 November 2009

Kong Choy tandatangani 3 surat

Oleh ANGELINA SINYANG


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy memberitahu, beliau setuju menandatangani tiga surat bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) selepas mendapat pandangan daripada peguam kanan Malaysia dan Peguam Diraja.

Kong Choy berkata, beliau telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 29 Julai lalu bahawa tiga surat yang ditandatangani itu sebenarnya adalah surat sokongan dan bukannya surat jaminan.

''Saya tandatangan surat ini berdasarkan keikhlasan bahawa saya percaya ia sebenarnya surat untuk sokongan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan mengapa beliau menandatangani tiga surat untuk projek PKFZ.

PAC dalam laporan mengenai PKFZ yang dikeluarkan semalam mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Kong Choy dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O.C Phang membabitkan kes pecah amanah.

Menurut laporan itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Kong Choy dan tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

PKFZ menimbulkan kontroversi apabila kos pembangunannya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

Mengulas lanjut, Kong Choy berkata, adalah penting bagi beliau untuk memberi penjelasan mengenai surat yang ditandatangani itu sekali lagi.

''Semasa saya dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada 1 Julai 2003, urusan perolehan tanah bagi projek PKFZ sudahpun selesai.

''Ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan, saya telah menghadiri beberapa perjumpaan termasuk prosiding Parlimen untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai tiga surat sokongan ini," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, adalah malang sekali apabila perkara itu kembali dibangkitkan.

Kong Choy memberitahu, beliau bagaimanapun sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan jika diminta memberi penjelasan dan membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.

Bekas Menteri Pengangkutan itu turut memaklumkan beliau kini berada di luar negara dan akan kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat ini.

''Saya harap kenyataan diberikan ini boleh memberi penjelasan kepada apa sahaja spekulasi yang kurang enak mengenai saya," ujarnya.

Tiada ulasan: