Khamis, 12 November 2009

Khutbah politik: Imam Masjid Darul Ehsan dipecat

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menamatkan tugas imam Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya kerana membiarkan masjid dijadikan pentas politik.

Imam tersebut telah membiarkan khatib jemputan menyampaikan khutbah Jumaat yang diselitkan dengan unsur politik pada 30 Oktober lalu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, pihaknya memandang serius usaha pihak tertentu yang menjadikan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik dan semua imam telah diberi peringatan demikian.

''Kita telah beri amaran demi amaran, tetapi masih berlaku, kita tidak boleh bertolak ansur dengan perkara yang berlaku.

''Sebab itu tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

''Ini adalah kes pertama di Selangor, imam ditamatkan perkhidmatan ekoran kesalahan tersebut,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2009 di sini hari ini.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan rungutan orang ramai bahawa khutbah Jumaat di masjid tersebut pada 30 Oktober lalu lebih berunsur politik.

Sementara itu, berhubung isu bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang didakwa memberi kuliah agama tanpa tauliah oleh JAIS, beliau berkata, kes itu akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah dalam waktu terdekat.

''Tunggulah sehari dua, kita perlu masa dan proses siasatan siap baru boleh dakwa,'' jelasnya.

Tiada ulasan: