Khamis, 19 November 2009

Ketua Pemuda parti bidas tindakan Ong

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, membidas tindakan Datuk Seri Ong Tee Keat menggugurkan beliau dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Majlis Presiden, kejadian pertama dalam sejarah parti itu.

“Sedangkan saya masih ingat ketika Datuk Seri Ong menjadi Ketua Pemuda, beliau juga tidak sehaluan dengan Presiden ketika itu, tetapi dilantik (dalam Majlis Presiden) atas landasan menghormati Pergerakan Pemuda.

“Saya berasa sedih. Ini adalah proses demokrasi dan kita mempunyai pandangan berlainan. Sayap parti sepatutnya diberi penghormatan (untuk berada dalam Majlis Presiden). Ia menggambarkan Presiden (Ong) semata-mata mahu melantik orang yang patuh atau `pak turut’ dalam Majlis Presiden,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) di ibu pejabat MCA di sini, semalam.

Wee berkata, beliau dan Chew akan meneruskan perjuangan sebagai ketua sayap kerana berpendirian demokrasi adalah prinsip asas menghidupkan semula MCA.

“Kita tidak mahu parti ini dimonopoli oleh orang tertentu saja kerana jika ini berlaku, tiada `check and balance’ dan sekiranya ada pandangan berlainan pada masa depan atau perkara yang dibincangkan tiada kata sepakat, orang itu akan `dipancung’,” katanya.

Tiada ulasan: