Jumaat, 20 November 2009

Kes Kak Pah saman Utusan 7, 8 Disember

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes saman fitnah penyanyi terkemuka negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, bekas Ketua Pengarang dan seorang wartawan hiburan pada 7 dan 8 Disember depan.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nazri Ismail pada prosiding dalam kamar mahkamah di sini, semalam.

Sharifah Aini memfailkan saman terhadap Utusan, Ketua Pengarang (ketika itu Datuk Khalid Mohamad) dan wartawan Ku Seman Ku Hussain pada 27 April 2004.

Dalam saman tersebut, Sharifah Aini atau dikenali Kak Pah mendakwa pihak-pihak defendan telah memfitnahnya melalui satu artikel dalam ruangan Cubit Manja bertajuk ‘SMS dan umang-umang’ terbitan Mingguan Malaysia bertarikh 31 Mac 2004.

Dia mendakwa ketiga-tiga defendan mengaitkan hal peribadinya dan mempunyai niat jahat terhadapnya. Sehubungan itu, dia menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi umum, pampasan dan teladan.

Sharifah Aini turut menuntut suatu injunksi daripada mahkamah bagi menghalang defendan menerbitkan kenyataan memburukkannya.

Sementara itu, ketiga-tiga defendan melalui pernyataan pembelaan yang difailkan 18 Jun 2004 menafikan artikel itu bertujuan memfitnah Sharifah Aini, sebaliknya ia adalah komen berpatutan mengenai perkara membabitkan kepentingan awam serta tindak tanduk dan sikap plaintif sebagai artis.

Tiada ulasan: