Jumaat, 20 November 2009

Kes Gambar Separuh Bogel Elizabeth Wong: Hilmi Malek Masih Dicari Polis

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Apakah kesudahan cerita siasatan ke atas penyebaran gambar separuh bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sejak ia tersebar di internet Februari lalu?

MStar Online hari ini dimaklumkan bahawa pihak polis tidak pernah menutup kertas siasatan berhubung kes tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Datuk Ku Chin Wah berkata, pihak polis masih lagi memburu bekas teman lelaki Elizabeth, Hilmi Malek bagi membantu pihaknya melengkapkan siasatan berhubung kes itu.

Menurut Ku, berdasarkan maklumat terakhir yang diperolehi oleh pihak polis Hilmi dikatakan sedang bersembunyi di Indonesia.

"Kita masih lagi mencari dia (Hilmi) bagi membantu kita untuk memberikan maklumat bagi melengkapkan siasatan dalam kes penyebaran gambar Elizabeth.

"Selepas itu kita akan lihat apa tindakan selanjutnya yang boleh diambil," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi hari ini.

Pada 25 Mac lalu, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Hilmi dan gambarnya telah diedarkan kepada semua pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk negara bagi menahannya.

Hilmi telah menghilangkan diri sejak 9 Februari lepas setelah dikaitkan dengan penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth di internet.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: