Ahad, 8 November 2009

Kerajaan Sediakan RM300,000 Untuk Bantu Mangsa Banjir Di Jeli

BERNAMA


JELI: Kerajaan memperuntukkan RM300,000 untuk menampung keperluan mangsa banjir serta membaik pulih projek pembangunan yang rosak akibat bencana itu di kawasan Parlimen Jeli.

Ahli Parlimennya, Datuk Mustapa Mohamed berkata peruntukan itu termasuk menyediakan bekalan makanan kepada 300 mangsa di kawasan Jeli khususnya di Kampung Lakota yang teruk dilanda banjir dua hari lepas.

"Selain membaik pulih projek yang sedang dalam pembinaan, kerja mendalamkan dasar sungai dan saluran sistem pembetungan perlu dibaiki yang menjadi punca penghadang laluan air banjir," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Mustapa mempengerusi mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan di jajahan itu di Kompleks Umno Bahagian Jeli di Bukit Nangka, di sini.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, juga turut melawat kawasan yang dilanda banjir di negeri ini termasuk jajahan Jeli, Tanah Merah dan Tumpat.

Tiada ulasan: