Khamis, 5 November 2009

Keputusan ROS burukkan lagi keadaan: Penganalisis

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Pengesahan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa bekas Timbalan Presiden MCA yang dipecat, Datuk Seri Chua Soi Lek masih sah memegang jawatan kedua tertinggi parti itu dilihat tidak membantu menyelesaikan krisis kepimpinan MCA yang semakin berlarutan sebaliknya memburukkan lagi keadaan.

Penganalisis politik tempatan, Dr Sivamurugan Pandian berkata, keputusan yang dibuat oleh ROS itu juga dilihat mengenepikan keputusan sebulat suara oleh para perwakilan semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) lalu.

“Jika Soi Lek kembali sebagai Timbalan Presiden MCA yang sah, ianya perlu diiktiraf oleh Jawatankuasa Pusat (CC).

“Adakah Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden yang dilantik oleh CC akan melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang?Perkara ini semakin mencelarukan keadaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, sepatutnya ROS dan ahli MCA menghormati keputusan yang dibuat semasa EGM itu kerana mandat telah diberikan kepada para perwakilan untuk menyelesaikan masalah kepimpinan MCA.

“Namun nampaknya, keputusan EGM itu tidak diendahkan dan berbalik kepada kepimpinan yang asal iaitu Ong Tee Keat masih sebagai Presiden dan kini ROS pula mengeluarkan keputusan yang bercanggah di mana Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA yang sah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Dr Sivamurugan juga mempertikaikan tindakan ROS mengeluarkan kenyataan bahawa Soi Lek masih Timbalan Presiden yang sah sedangkan ia tidak termasuk dalam bidang kuasa jabatan itu malah EGM yang dilakukan adalah sah.

“Adakah kenyataan ROS itu bertujuan untuk membantu menyelesaikan masalah MCA dengan menghalang agar EGM kali kedua dilakukan atau ada perkara agenda lain?.

“Walaubagaimanapun, keputusna yang terbaik ialah menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan pemimpin parti yang akan menerajui parti,” katanya.

Semalam, Soi Lek memdapat semula jawatannya sebagai Timbalan Presiden MCA selepas digugurkan sesulan dipecat daripada parti kira-kira dua bulan lalu.

Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ROS melalui surat yang juga dihantar kepada kepimpinan MCA ketika CC itu sedang mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Tiada ulasan: