Isnin, 30 November 2009

Kenyataan Media Wanita Keadilan : Kebajikan Anak-anak Malaysia diabaikan

SAIASAH DAILY


Wanita KEADILAN memandang serius pengakuan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun bahawa KPWKM masih sedang ’berbincang’ untuk menyelesaikan beribu-ribu kes-kes mahkamah yang melibatkan kanak-kanak! Jika Kementerian Pembangunan Wanita sendiri tidak berupaya untuk menyelesaikan kes-kes mahkamah juvana ini, maka kementerian mana yang boleh diharapkan untuk melindungi kanak-kanak dalam sistem perundangan agar tidak merencatkan pertumbuhan mereka yang sedang membesar.

Kami juga resah apabila KPWKM hanya bercadang untuk menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) dua (2) tahun dari sekarang - tahun 2011. Bagaimana Kementerian Pembangunan Wanita hendak menyelaras dan memantau isu-isu berkaitan kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak jika penubuhan jabatan kanak-kanak ini dilewatkan?

Begitu juga Pelan Tindakan bagi Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang melibatkan hampir kesemua kementerian. Apakah peruntukan ’cross-cutting budget’ dari kementerian-kementerian yang terlibat dan bagaimana KPWKM hendak memantau samada pelan tindakan itu telah berjaya dilaksanakan?

Ini mengambil pengajaran dari kegagalan pemantauan ’cross-cutting budget’ oleh KPWKM dalam Belanjawan 2008 terhadap empat (4) kementerian berkaitan – Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

Jelas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kurang peduli dalam melindungi hak kanak-kanak walaupun negara kita telah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan. Tidak hairan perogol-perogol wanita dan kanak-kanak kaum Penan lepas bebas tanpa pertanggungjawaban.

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT

Tiada ulasan: