Isnin, 2 November 2009

Kenderaan penyokong skuad Kelantan ‘diserang’

Oleh Adha Ghazali dan Zuliaty Zulkiffli


KANGAR: Sejumlah 13 kenderaan milik penyokong skuad bola sepak Kelantan termasuk tiga bas yang membawa pemain skuad ‘Red Warriors’ itu rosak, selepas ‘diserang’ kumpulan tertentu dipercayai penyokong skuad Perlis, di sini, malam kelmarin.

Semua 13 kenderaan itu mengalami kerosakan terutama pecah cermin selepas dibaling beberapa objek keras termasuk batu oleh kumpulan berkenaan, sejurus sebelum meninggalkan pekarangan Stadium Utama Kangar, kira-kira jam 11.30 malam.

Selain tiga bas membawa pemain skuad Kelantan, 10 lagi kenderaan membabitkan lapan bas pesiaran, satu van dan kereta persendirian milik penyokong skuad berkenaan.

Difahamkan, tiga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung insiden berkenaan.

Selain itu, dua lagi laporan masing-masing dibuat pengusaha bas pesiaran serta seorang pemilik kenderaan persendirian yang turut menjadi mangsa dalam serangan itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Pihak IPD Kubang Pasu ketika dihubungi, bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dengan alasan kes berkenaan sudah dimajukan ke IPD Kangar, untuk tindakan susulan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, ketika dihubungi mengesahkan menahan dua lelaki untuk membantu siasatan berhubung insiden itu.

Beliau berkata, lelaki berusia 17 dan 22 tahun itu ditahan di pekarangan Stadium Utama Kangar, sejurus selepas perlawanan tamat, malam kelmarin.

Katanya, kedua-dua mereka masih ditahan untuk membantu siasatan selepas dikesan cuba bertindak agresif termasuk cuba mencetuskan pergaduhan.

“Kita percaya insiden itu berlaku atas rasa tidak puas hati segelintir penyokong dengan keputusan perlawanan, sehingga menyebabkan mereka menjadikan pasukan lawan sebagai tempat untuk melepaskan geram.

“Bagaimanapun, pihak polis berjaya mengawal keadaan dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), sebelum insiden itu melarat,” katanya.

Tiada ulasan: