Rabu, 25 November 2009

Kemelut MCA: Pemilihan Jalan Keluar?

MerdekaReview

Penyelesaian melalui “kotak undi” mungkin mujarab untuk mereka yang akur kepada “demokrasi” dan sanggup bertanggungjawab terhadap apa yang diperkatakan atau dijanjikan. Namun demikian, apakah ciri-ciri ini wujud pada pemimpin MCA yang kini sedang berbalah?

Persoalan inilah yang harus dipertimbangkan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, merangkap Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin , ketika merangka formula penyelesaian yang kononnya akan dipersetujui oleh semua pihak pemimpin MCA yang sedang bertelagah.

Sekali imbas, Presiden MCA Ong Tee Keat pernah berjanji untuk berundur biarpun usul “undi tidak percaya” terhadap dirinya diluluskan hanya dengan majoriti satu undi dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 10 Oktober 2009. Tetapi, apabila beliau ditolak dengan 14 undi majoriti, beliau kembali dengan “Pelan Perpaduan” yang mengekalkan dirinya pada jawatan Presiden.

Masalah ini tidak wujud hanya pada Ong Tee Keat. Malah, puak Liow Tiong Lai yang kini bangkit sebagai “kuasa ketiga” selain Ong-Chua, turut berjanji akan meletak jawatan secara kolektif bersama Ong seandainya perwakilan meluluskan usul yang menentang keputusan pemecatan Chua Soi Lek oleh Majlis Presiden. Justeru itu, segala tuduhan puak Liow terhadap Ong biarpun benar (sebahagiannya kalau bukan semua), tetapi diri mereka turut dipertikaikan kerana tiada asas moral (moral ground).

Formula penyelesaian: Pemilihan semula?

Bertitik tolak daripada itu, persoalan yang timbul segera adalah, apakah Muhyiddin Yassin mampu memastikan bahawa ketiga-tiga pihak ini akan akur kepada keputusan kotak undi, seandainya pemilihan semula diadakan? Persoalan ini mungkin masih boleh diselesaikan melalui perjanjian hitam-putih, menetapkan sesiapa yang kalah MESTI berundur dari pentas MCA.

Namun, persoalan yang menyusul kemudian adalah, apakah keputusan pemilihan parti itu akan menyelesaikan kemelut MCA? Melihat kepada senario terkini, dan merujuk semula kepada keputusan EGM 10 Oktober, MCA kini dipecahkan kepada tiga puak yang utama, masing-masing diketuai Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai.

Ong Tee Keat

Seandainya Ong Tee Keat (gambar kanan) tetap mahu masuk gelanggang untuk bertanding sebagai Presiden, beliau perlu mencarikan gandingan sebagai Timbalannya. Tetapi siapakah pula calon tersebut melainkan Chua Soi Lek? Jelas, Ong Tee Keat kini kekurangan calon yang berwibawa untuk diletakkan sebagai orang nombor dua dalam parti. Malah, Ong Tee Keat tidak mungkin menang dengan sokongan yang ada pada dirinya sekarang.

Tetapi, seandainya Ong berganding dengan Chua Soi Lek, gandingan ini semestinya akan disindir oleh puak Liow Tiong Lai berikutan serangan peribadi terhadap Chua oleh Ong sebelum ini. Ironinya, kemelut MCA ini sebenarnya bermula kerana keenganan Ong untuk bekerjasama dengan Chua. Maka, tidak hairan juga apabila wujudnya ramalan bahawa Ong mungkin tidak bertanding dalam pemilihan semula parti.

Chua Soi Lek

Chua Soi Lek yang tercalar dengan skandal seksnya, walaupun dianggap sebagai calon yang paling lemah jikalau dilihat dari perspektif imejnya, namun memiliki kelebihan dalam senario di mana puak Ong Tee Keat meretak. Pada hakikatnya, Chua Soi Lek tiada pilihan selain bertanding sebagai Presiden, jikalau Ong Tee Keat memilih untuk berundur.

MerdekaReview difahamkan bahawa, adalah lebih sukar bagi Chua Soi Lek (gambar kiri) untuk bekerjasama dengan Liow Tiong Lai daripada dengan Ong Tee Keat. Pelan Perpaduan yang direstui Ong-Chua berakhir dengan kesudian Ong untuk meletakkan orang Chua dalam pucuk pimpinan. Ini adalah antara perkembangan terbaru yang positif untuk gandingan Ong-Chua.

Sebaliknya, bagi Chua, sikap kegelojohan kuasa Liow Tiong Lai perlu diawasi. Lebih-lebih lagi, Liow Tiong Lai masih disyaki sebagai dalang yang terlibat dalam konspirasi untuk menumbangkan Chua dengan vcd skandal seks pada akhir tahun 2007. Tambahan pula, barisan Liow kini ditunjangi orang Ong Ka Ting, bekas Presiden MCA, yang juga merupakan musuh politik untuk Chua.

Jadi, seandainya Ong Tee Keat memilih untuk berundur diri, maka pemilihan semula parti akan menyaksikan pertembungan antara Chua Soi Lek dengan puak Liow. Malah, Chua Soi Lek yang “lebih fleksibel”, dijangka lebih senang untuk mencari gandingan Timbalannya.

Puak Liow Tiong Lai

Liow Tiong Lai yang cuba “tunjuk kuasa” dengan “ahli parlimen” yang menjadi benteng kepadanya, mungkin tidak sehebat yang dijangkakan oleh UMNO. Liow kini berdepan dengan masalah barisan pasukannya, yang akan turun untuk bertanding dalam pemilihan parti yang akan datang.

Pertikaian kini wujud sama ada pemilihan semula ini termasuk kedua-dua sayap, iaitu Pemuda dan Wanita? Seandainya tidak, maka Wee Ka Siong dan Chew Mei Fun tidak menghadapi sebarang risiko, dan Liow Tiong Lai terpaksa berperang bersendirian. Senario ini akan memecah belahkan puak Liow sendiri kerana Liow mungkin merasakan dirinya diperalatkan oleh Wee dan Chew.

Liow yang masih teragak-agak dengan jawatan yang hendak ditandingi itu, bagaimanapun berdepan dengan dilema untuk memilih gandingannya. Ong Ka Chuan, abang kepada Ong Ka Ting (bekas Presiden MCA) ialah salah seorang calon yang dipertimbangkan.

Senario yang mungkin wujud

Fokus sebenarnya tertumpu kepada Liow Tiong Lai, dan gandingannya. Maka, antara beberapa senario yang wujud adalah seperti yang berikut:

1. Liow Tiong Lai bertanding sebagai Presiden menentang Ong Tee Keat
2. Liow Tiong Lai bertanding sebagai Presiden menentang Chua Soi Lek
3. Liow Tiong Lai bertanding sebagai Timbalan Presiden menentang Chua Soi Lek.
4. Liow Tiong Lai bertanding sebagai Timbalan Presiden menentang gandingan Ong Tee Keat yang lain (bukan Chua Soi Lek), atau gandingan Chua Soi Lek.

Senario yang paling “sempurna” dari kaca mata puak Liow adalah Liow menang bersama gandingannya, untuk kedua-dua jawatan tertinggi. Retakan MCA yang menyaksikan pemergian puak Ong Tee Keat dengan puak Chua Soi Lek semestinya akan berlaku, bezanya hanya sejauh manakah MCA terjejas.

Tetapi, seandainya gandingan Liow tewas, maka senarionya begini. Liow yang menang sebagai Presiden, mungkin perlu menerima Chua Soi Lek, atau orang daripada puak Chua sebagai Timbalannya. Jikalau Liow menang sebagai Timbalan, maka Liow perlu menerima Ong Tee Keat atau Chua Soi Lek sebagai Presidennya.

Persoalannya, apakah senario sedemikian boleh menyelesaikan kemelut MCA? Apakah sejarah tidak akan berulang pada gandingan Ong-Liow, Chua-Liow atau Liow-Chua, Liow-orang Chua?

Inilah senario yang mungkin wujud jikalau pemilihan semula parti MCA diadakan. Seandainya puak Liow tewas untuk kedua-dua jawatan tertinggi, maka segala-galanya balik kepada keadaan asal, iaitu pimpinan Ong-Chua sekarang, atau lembaran baru dengan penguasaan Chua dalam pucuk pimpinan.

Persoalan kekal sama, apakah kemelut MCA akan dibubuhkan noktah dan melabuh tirai selama-lamanya?

Tiada ulasan: