Rabu, 4 November 2009

Kemelut MCA: Ke Mana Liew Tiong Lai selepas ini?

Oleh charlie / SABAH DAILY


Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan dan pemegang rekod dunia sebagai Timbalan Presiden MCA yang paling singkat (selain pemegang rekod sebagai Timbalan Presiden MCA yang bukan dipilih melalui pemilihan oleh perwakilan seperti lazimnya) kini berada dalam kedudukan yang amat rapuh dalam MCA, lebih rapuh dari Dr Chua Soi Lek semasa dilucutkan jawatan Timbalan Presiden.

Ini adalah kesilapan (jika boleh dianggap sebagai satu kesilapan) Liow sendiri yang terlalu mendesak Presiden MCA, Ong Tee Kiat supaya mematuhi resolusi EGM yang d

iadakan baru-baru ini dan meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA. Beliau adalah orang yang paling hampir untuk memangku Jawatan Presiden MCA jika Ong meletakkan jawatan.

Liow yang menggunakan saluran kroninya iaitu Ketua Pemuda MCA, Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita MCA Chew mei Fun dalam menyampaikan desakan beliau, pernah menuduh segelintir ketua-ketua dalam MCA sebagai dalang yang cuba mengeruhkan hubungan beliau dengan Presiden. Ibarat baling batu sembunyi tangan, Liew gagal menutup bangkai gajah dengan sehelai daun, akhirnya, setelah didesak oleh Presiden MCA sendiri, akhirnya mengaku bahawa beliau menyokong resolusi EGM tersebut dan bersama-sama mendesak Ong meletakkan jawatan.

Mengapa Liow begitu berani mengamalkan politik kamikaze dan mendesak Ong meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA ini? Ada suara-suara dan tulisan-tulisan dalam blog yang menuduh dalangnya adalah UMNO yang cuba menghalang Ong sebagai Menteri Pengangkutan yang bertanggung jawab dalam isu PKFZ dari mendedahkan skandal-skandal ala 1Malaysia yang melibatkan tokoh-tokoh besar dalam UMNO dan kerajaan Malaysia yang mengaut keuntungan yang boleh dimakan sehingga beberapa keturunan anak cucu mereka. Selain dari itu, Liow juga nampak dengan pemecatan Dr Chua sebagai Timbalan Presiden dan perletakan jawatan Presiden maka beliau adalah bakal Presiden MCA.

Kalau begitu, bagaimana pula Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang telah membuat kenyataan sebelum ini bahawa mereka tidak akan masuk campur dalam kemelut MCA ini, malah menteri yang bertanggung jawab terhadap ROS iaitu Hishamuddin Hussein meminta MCA menyelesaikan sendiri masalah mereka tanpa campurtangan ROS,secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan banyak pihak: Chua Soi Lek masih lagi Timbalan Presiden MCA?

Ong mengumumkan perkara (kemasukan semula Dr Chau sebagai Timbalan Presiden MCA) ini tanpa kehadiran Liow, Wee dan Chew.

Dalam masa yang sama, Ong mengumumkan pemecatan 4 wakil dalam CC, iaitu di antara 16 orang yang terlibat dalam menyokong resolusi EGM dan meminta pemilihan baru diadakan. Antara yang dipecat adalah Chor Chee Heong , Timbalan Menteri Dalam Negeri. Jelas dalam hal ini,

Ong akan kembali bergabung dengan Timbalan Presiden beliau yang disahkan semula iaitu Dr Chua Soi Lek dalam menghadapi seorang lagi Timbalan Presiden, Liow Tiong Lai yang enggan menyerahkan jawatan beliau ini, sebaliknya memilih untuk mencabar keputusan ROS ini.

Nasib Liew akan jadi seperti Murugiah dari PPP yang terumbang-ambing dalam parti sendiri selepas keputusan ROS tidak memihak kepada mereka. Namun Liew agak beruntung kerana beliau masih mempunyai Ketua pemuda, We Ka Siong dan ketua Wanita, Chew Mei Fun bersama beliau. Dan Ong Tee Kiat dalam hal ini perlu berguru dengan Samy Vellu bagaimana untuk menghalang kebangkitan Kumpulan Liew ini.

Tiada ulasan: