Sabtu, 21 November 2009

Kematian banduan: Bapa cadang ambil tindakan



Ismail Omar menunjukkan gambar anaknya, Pattah (gambar kecil) yang meninggal dunia di Penjara Penor.

UTUSAN ONLINE

KUANTAN - Seorang bapa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penjara berikutan kematian anaknya, Pattah Ismail dalam keadaan meragukan ketika ditahan di Penjara Penor kelmarin.

Ismail Omar, 68, berkata, dia dan ahli keluarga yang lain tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak penjara berhubung punca kematian anaknya itu yang dikatakan terjatuh ketika sedang beratur dalam barisan.

Menurutnya, keraguan itu timbul berdasarkan kecederaan teruk yang dialami anaknya seperti kesan bengkak di kepala, mata, lutut kanan dan patah paha kiri.

"Tidak mungkin kecederaan akibat terjatuh seperti yang didakwa oleh penjara boleh menyebabkan anak saya terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga membawa kepada kematiannya.

"Malah saya turut dimaklumkan oleh doktor bahawa paru-paru anak saya bocor. Tak kan kecederaan seperti itu disebabkan terjatuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gebeng di sini hari ini.

Akhbar melaporkan, seorang banduan berusia 36 tahun yang baru enam bulan menjalani hukuman selepas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun akibat kesalahan rogol dimasukan ke ICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum meninggal dunia dipercayai terjatuh.

Kata peniaga kedai makan itu, dia sudah berjumpa dengan peguam semalam bagi membincangkan tindakan undang-undang yang bakal diambil dan mereka kini menunggu laporan bedah siasat sebelum mengambil tindakan susulan.

"Kami hanya mahukan penjelasan mengenai punca kematian Pattah sama ada dia benar-benar terjatuh, dipukul atau disebabkan kecuaian kakitangan penjara yang gagal mengawasinya.

"Saya dukacita dengan jawapan yang menyatakan bahawa anak saya terjatuh ketika cuba memanjat dinding sedangkan kawalan di penjara sepatutnya lebih ketat dan tidak membenarkan penghuninya mengambil tindakan sedemikian," katanya.

Tiada ulasan: