Selasa, 3 November 2009

Keluarga Mantik dapat sumbangan RM13,100


NADZIM Johan (tiga dari kiri) bersama ahli gabungan NGO menyerahkan wang sumbangan kepada Tatang B Razak sebanyak RM13,100 sebagai bantuan khas terhadap kes dera pembantu rumah Mantik di kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur, semalam. - bernama

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Majlis Permuafakatan Antara NGO-NGO (Mapan) hari ini menghulurkan sumbangan RM13,100 kepada keluarga Mantik Hani.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sumbangan tersebut hasil kutipan daripada ahli-ahli persatuan serta gabungan itu bagi meringankan beban keluarga pembantu rumah yang mati dipercayai didera oleh majikannya.

Menurutnya, PPIM dan Mapan memandang serius perkara tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya jenayah penderaan.

"Ingin kami tegaskan bahawa ini bukanlah budaya rakyat Malaysia yang mendukung sepenuhnya hak asasi manusia.

"Bangsa kita merupakan bangsa yang prihatin dan bertanggungjawab serta menghormati hak individu lain dalam mengamalkan suasana hidup yang harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Timbalan Duta Besar Indonesia, Tatang B Razak di Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Wang sumbangan itu akan diserahkan oleh wakil kerajaan Indonesia kepada keluarga Mantik dalam masa terdekat.

Setakat ini, majikan Mantik iaitu seorang peniaga berusia 36 tahun telah ditahan polis.

Difahamkan, Mantik sebelum ini bekerja dengan majikan lain secara sah, tetapi telah melarikan diri dan bekerja dengan majikan baru yang akhirnya dipercayai menderanya sehingga mati pada 26 Oktober lalu.

Mantik meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Nadzim meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah warga asing.

Selain itu menurutnya, pemantauan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan kes penderaan pembantu rumah tidak berulang.

Katanya, kerajaan juga perlu mewujudkan garis panduan yang lebih jelas berhubung peraturan mengenai kebajikan dan keselamatan pembantu rumah khususnya yang beragama Islam.

Menurutnya, tindakan itu penting untuk mengelakkan salah faham dan rasa tidak puas hati di antara Malaysia dan Indonesia.

"Dalam hal ini, masyarakat juga diminta tampil ke hadapan menyampaikan maklumat sekiranya mengesyaki terdapat kes penderaan pembantu rumah di kawasan tempat tinggal mereka," katanya.

Tiada ulasan: