Sabtu, 21 November 2009

Kelantan Kembali Dilanda Banjir

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kelantan dilanda banjir "gelombang kedua" apabila penduduk di Kuala Krai dipindahkan akibat limpahan Sungai Kelantan manakala keadaan banjir di Pahang masih tidak berubah hari ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata 224 mangsa di Kuala Krai dipindahkan kira-kira 4 petang ini ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Telekong, Kuala Krai.

"Kesemua mereka ini penduduk Kampung Telekong yang tinggal berhampiran tebing Sungai Kelantan.

"Banjir kilat juga dilaporkan berlaku di Rantau Panjang dengan 14 orang daripada tiga keluarga dipindahkan berikutan rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat," katanya kepada Bernama di sini.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah kini melepasi paras bahaya pada bacaan 23.72 meter. Paras bahaya di sungai itu ialah 23.50 meter.

Satu lagi bacaan sungai yang sama di Rantau Panjang pula semakin menghampiri bahaya 9 meter iaitu kini pada bacaan 8.98 meter.

Sungai Kelantan di Tualang, Gua Musang; Tangga Krai di Kuala Krai; Kusial, Tanah Merah dan Tambatan Diraja juga dilaporkan air sudah melepasi paras waspada.

Cuaca di Kelantan petang ini mendung dengan sesekali hujan lebat dan keadaan itu dilaporkan akan berterusan sehingga minggu depan.

Gelombang pertama banjir awal bulan ini menyaksikan kira-kira 3,000 penduduk dipindahkan terutama di Rantau Panjang dan Tumpat dengan duakematian dilaporkan.

Di KUANTAN, mangsa banjir yang ditempatkan di surau Projek Perumahan Rakyat Termiskin Kampung Darat masih kekal seramai 24 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontingen Pahang berkata pusat pemindahan yang dibuka sejak petang semalam itu masih menempatkan tiga keluarga selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan manakala lain-lain daerah tiada pemindahan dilaporkan berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tiada ulasan: