Ahad, 8 November 2009

Keadaan di Terengganu bertambah baik, ramai dibenar pulang

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila 2,754 daripada 3,359 mangsa yang dipindahkan sejak semalam telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini ekoran cuaca baik.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu berkata, setakat pukul 5 petang, seramai 605 daripada 38 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara ekoran banjir yang melanda rumah mereka belum surut.

Menurut jurucakap itu, sebanyak 11 pusat pemindahan sementara mangsa banjir di empat daerah di negeri ini masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terlibat.

''Daripada jumlah itu, seramai 534 orang masih berada di enam pusat pemindahan sementara di Dungun manakala 32 berada di dua pusat pemindahan sementara di Besut.

''Sebanyak 28 lagi di Hulu Terengganu ditempatkan di sebuah pusat pemindahan dan 11 di Setiu ditempatkan di dua pusat pemindahan," kata jurucakap itu ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua jalan raya utama yang ditutup sebelum ini telah dibuka semula untuk semua jenis kenderaan.

Dalam pada itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu memberitahu, setakat pukul 5 petang, paras air Sungai Besut di Jambatan Jerteh masih diletakkan dalam keadaan berwaspada apabila mencatatkan paras 8.74 meter melebihi paras amaran iaitu 8.10 meter.

Tiada ulasan: