Rabu, 11 November 2009

Kandungan Memorandum PGSM Bersifat Serangan Peribadi - Abim Besut

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) daerah Besut memandang serius terhadap isu memorandum yang di hantar oleh Persatuan Guaman Syari'e Malaysia (PGSM) dan beberapa NGO Islam bagi membantah pelantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM baru-baru ini.

"Abim Besut telah mengikuti perkembangan isu ini dan membuat pemerhatian beberapa perkara yang berbangkit daripada kedua-dua pihak.

"Abim Besut juga telah membaca isu kandungan memorandum tersebut dengan membuat penilaian secara adil di atas beberapa perkara yang terkandung dalam kandungan tersebut," jelas Yang di-Pertua Abim daerah Besut, Mohd Nor Zaiman Che Mansor melalui kiriman emel sebentar tadi.

Menurut Mohd Nor, Abim Besut telah membuat beberapa kesimpulan dan pendirian setelah diminta untuk membuat demikian oleh beberapa pihak.

"Abim Besut tidak membantah mana-mana pihak untuk menghantar sebarang memorandum termasuk memorandum yang dihantar oleh pihak yang tersebut di atas, tetapi tidak menyokong kandungan yang termaktub di dalam memorandum bantahan tersebut," kata Mohd Nor.

Beliau turut menjelaskan antara alasannya:

1)Kandungan memorandum tersebut lebih bersifat serangan peribadi tanpa mengemukakan hujah dan bukti yang kukuh untuk menyokong perkara yang dibangkitkan.

2)Abim Besut bimbang sekiranya tuduhan yang dilemparkan itu tanpa dikemukakan bukti yang kukuh akan menyebabkan fitnah berlaku.

3)Pihak yang mengemukakan memorandum tersebut tidak berkata benar dengan mengatakan mereka mewakili majoriti umat Islam, walhal mereka tidak memberi bukti yang kukuh mengatakan mereka mewakili majoriti umat Islam di Malaysia.

4)Isu ini menunjukkan mereka yang terlibat menghantar memorandum tersebut tidak menerima kepelbagaian pandangan dan pendapat yang tidak bertentangan prinsip Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

5)Pihak mereka juga seolah-olah cuba menyekat perkembangan ilmu yang didasari oleh prinsip mencari yang haq dan menegakkan kebenaran berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang soheh.

"Atas alasan berikut, kami berpendapat tidak wajar mana-mana pihak yang ingin membantah mana-mana individu tanpa membuat analisa dan penelitian yang betul dan meletakkan prejudis yang tidak baik seterusnya tidak mengemukan bukti yang kukuh.

"Abim Besut tidak menyokong mana-mana pihak dengan membuta tuli dalam isu ini, namun kami meletakkan prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran bagi meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat yang tidak melanggari prinsip Ahlu Sunnah wal Jamaah yang soheh, "kata Mohd Nor.

Tiada ulasan: