Isnin, 16 November 2009

Kajian Penyelewengan Wakil Rakyat Dibentang 24 November ini

BERNAMA


PUTRAJAYA:Kajian mengenai dakwaan berlaku penyelewengan wang peruntukan Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada sebuah panel khas pada 24 November ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamad berkata laporan oleh pasukan khas menangani penyelewengan berkenaan akan dibentangkan kepada Panel Perundingan dan Pencegahan SPRM yang dijadual bermesyuarat pada tarikh berkenaan.

"Setelah ia dibentangkan, maka atas cadangan dan penambahbaikan oleh mereka, jika ada, barulah kita akan mengemukakan cadangan itu kepada pihak-pihak berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penubuhan pasukan khas itu adalah bagi memantau dan mengatasi kegiatan penyelewengan peruntukan Anggota Parlimen dan ADUN daripada terus berlaku dan ia dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan.

Abu Kassim enggan mengulas ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan keluarganya mendapat tajaan untuk menunaikan ibadah haji.

Tiada ulasan: