Rabu, 4 November 2009

'Kaji punca cerun runtuh'

Oleh Hardi Effendi Yaacob


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mengarahkan kajian terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian cerun runtuh di Kilometer (KM) 12 Jalan Rawang -Selayang, di sini awal pagi semalam.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor turut mengarahkan aktiviti pembangunan di kawasan berhampiran lokasi kejadian dihentikan serta-merta bagi mengelak berlaku runtuhan susulan, terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

"Difahamkan, ada projek perumahan dibangunkan berhampiran cerun itu. Kita sudah meminta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan pemaju menghentikan kerja walaupun masih awal untuk mengaitkannya dengan kejadian ini.

"Unit Jalan dan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) juga diarahkan mengkaji punca kejadian sama ada disebabkan aktiviti pembangunan ataupun cuaca termasuk hujan lebat sejak petang semalam," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau sebelum itu meninjau lokasi cerun runtuh itu, selain mengikuti taklimat operasi pembersihan laluan berkenaan oleh Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamed Hussin.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, cerun 200 meter runtuh menimbus tiga daripada empat lorong di laluan terbabit menyebabkannya ditutup kepada semua lalu-lintas dan mengakibatkan kesesakan teruk di kawasan berhampiran.

Kejadian dipercayai berpunca daripada struktur tanah yang tidak stabil berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu, selain faktor pembangunan di kawasan berhampiran.

Shaziman berkata, agensi berkaitan turut diarah menyemak dengan MPS dan Majlis Daerah Gombak (MDG) mengenai projek pembangunan berhampiran tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Shaziman berkata, tumpuan kini diberikan kepada operasi pembersihan laluan berkenaan, seterusnya dibuka semula untuk kegunaan orang ramai memandangkan ia laluan utama penduduk sekitar kawasan terbabit.

"Difahamkan, 80,000 pengguna menggunakan jalan ini setiap hari. Usaha membersih sisa runtuhan dilakukan JKR sambil dibantu kontraktor swasta.

"Jika semua lancar, laluan dibuka menjelang 7 pagi esok selepas disah selamat dan bergantung kepada keadaan cuaca. Jika hujan berterusan dan ada risiko runtuhan susulan, kemungkinan ia akan terus ditutup," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata mesyuarat khas akan diadakan bersama agensi berkaitan termasuk JKR, MPS, MDG dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), esok bagi membincangkan kejadian itu dalam mencari penyelesaiannya.

Difahamkan, mesyuarat turut meneliti projek pembangunan perumahan elit, Sierra Selayang, berhampiran cerun itu yang dipercayai ada kaitan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan sebuah syarikat swasta.

Tiada ulasan: