Isnin, 9 November 2009

Kaji kesan pasar raya besar di bandar kecil

UTUSAN ONLINE


BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji implikasi kewujudan pasar raya besar di bandar-bandar kecil.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian itu bagi memastikan sama ada kewujudan pasar raya besar itu nanti akan mengancam perniagaan kedai-kedai runcit sedia ada di kawasan terbabit ataupun sebaliknya.

Katanya, cadangan mewujudkan pasar raya besar sebelum ini berdasarkan permintaan daripada pengguna supaya mereka boleh membuat pilihan.

"Dari segi pengguna, tidak dinafikan ia memberi banyak manfaat kerana mereka boleh membuat pilihan dengan harga murah yang ditawarkan oleh pasar raya besar.

"Namun, kita sedang mengkaji kesannya terhadap perniagaan kedai-kedai runcit sedia ada di bandar kecil atau kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Rakan Alam Sekitar (RAS) di perkampungan masyarakat Orang Asli Bukit Rok dekat sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu kewujudan pasar raya besar itu nanti akhirnya membunuh rangkaian kedai runcit yang telah wujud sejak sekian lama.

Tambahnya, berdasarkan kajian awal mendapati peniaga kedai runcit melahirkan rasa bimbang perniagaan mereka akan terancam dan akhirnya ditutup apabila pengguna lebih kerap membeli di pasar raya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kementeriannya akan membuat pertimbangan bagi kedua-dua belah pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, kertas Kabinet sedang disiapkan untuk diedarkan kepada semua kementerian bagi mendapatkan pandangan dan pendapat mereka mengenai perkara tersebut.

"Selepas itu, barulah kita akan bentang dalam Kabinet. Sementara itu, peruncit tidak perlu bimbang mengenai perkara ini," kata beliau.

Menurut Ismail Sabri, setakat ini, kementeriannya masih mengekalkan polisi sedia ada iaitu kewujudan pasar raya hanya di bandar besar sahaja.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, masyarakat perlu memelihara alam sekitar sebagai khazanah negara bagi membantu mengurangkan pemanasan global.

Katanya, melalui RAS, masyarakat boleh membantu meningkatkan kesedaran untuk memelihara alam sekitar agar mereka dapat hidup dalam suasana yang bersih daripada sebarang pencemaran.

Tiada ulasan: