Isnin, 9 November 2009

Jumlah kemasukan pelancong meningkat

BERITA HARIAN ONLINE


Kelembapan ekonomi dan penularan wabak Influenza A (H1N1) di seluruh dunia tidak menghalang Malaysia untuk terus melancarkan pelbagai program menarik kedatangan pelancong, malah bagi tempoh Januari hingga September lalu, jumlahnya meningkat 4.4 peratus daripada 16.7 juta kepada 17.5 juta orang.

Angka itu dianggap membanggakan selepas Kementerian Pelancongan pada Mei lalu menetapkan semula sasaran hanya 19 juta pelancong saja yang melawat Malaysia sepanjang tahun ini selepas mengambil kira keadaan semasa terutama penularan wabak penyakit berbahaya itu, berbanding sasaran asal 22 juta orang.

Menterinya, Datuk Seri dr Ng Yen Yen, berkata daripada jumlah itu, 362,000 pelancong adalah dari United Kingdom (UK) dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 400,000 orang sehingga akhir bulan depan.

Beliau berkata, kementeriannya setakat ini masih belum dapat menetapkan sasaran kedatangan pelancong untuk tahun depan.

Katanya, industri pelancongan sangat sensitif dengan keadaan semasa tetapi bangga kerana Malaysia mampu menduduki tangga ke 11 sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia.

“Malaysia sudah mula berubah daripada negara pertanian dan pembuatan kepada negara pelancongan, malah peningkatan kedatangan pelancong daripada lima juta orang pada 1999 kepada 22 juta orang tahun lalu, sesuatu yang membanggakan.

“Pencapaian ini turut disumbangkan khidmat Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa pelancong ke negara ini, malah saya sendiri akan memantau apa saja yang dilakukan MAS kerana ia berkait rapat dengan industri pelancongan,” katanya selepas merasmikan pembukaan Golden Lounge di Lapangan Terbang Heathrow, dekat sini, semalam.

Tiada ulasan: