Isnin, 16 November 2009

JPJ tunggu kelulusan Jemaah Menteri guna kamera kesan saman

UTUSAN ONLINE


PADANG BESAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunggu kelulusan Jemaah Menteri untuk memasang Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) di 831 kawasan berisiko kemalangan seluruh negara bagi mengurangkan nahas jalan raya.

Pengarah Bahagian Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mat Ali berkata, cadangan untuk pemasangan tersebut telah dikemukakan kepada Jemaah Menteri oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan baru-baru ini.

"Ketua Pengarah JPJ sudah mengangkat perkara ini kepada Jemaah Menteri. Kami juga telah memberi penerangan berhubung semua perkara berkaitan AES, terutama daripada segi manfaat jangka panjang bagi kepentingan pengguna jalan raya.

"Daripada segi persediaan untuk melaksanakan perkara itu, kami tidak bermasalah. Apabila diluluskan Jemaah Menteri, JPJ boleh memasang dan melaksanakan sistem AES," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Program Satu Komuniti Satu JPJ 2009 Kawasan Chuping yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah JPJ di Dewan Besar Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) Chuping di sini hari ini.

Zairi memberitahu, AES wajar digunakan setelah pihaknya membuat tinjauan dan kajian keberkesanan peralatan itu yang telah digunakan di lebih 12 negara.

"Hasil tinjauan di 12 negara dan uji kaji yang kami lakukan di Lebuh Raya Guthrie, Selangor mendapati teknologi tersebut sesuai digunakan di Malaysia. Kini, terpulang kepada Jemaah Menteri," ujarnya.

Menurutnya, AES merupakan sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan elektronik yang diperkenalkan untuk mencapai sasaran nisbah hanya dua kematian daripada 10,000 kenderaan menjelang 2010.

Selain berfungsi sebagai perangkap kelajuan katanya, AES juga boleh digunakan bagi mengatasi masalah jenayah dan memudahkan kaedah memantau keadaan lalu lintas.

Berpandukan cadangan JPJ katanya, AES akan dipasang di lokasi yang kerap berlaku kemalangan termasuk di 265 kawasan lampu isyarat dan 556 kawasan yang dikenal pasti kerap kemalangan ekoran kenderaan dipandu laju.

"AES tidak akan disorok daripada pemandu. JPJ akan menyediakan papan tanda amaran berhubung kedudukan alat tersebut. Ini kerana AES bukan diperkenalkan untuk mendenda pemandu tetapi mahu mereka berhati-hati di kawasan kemalangan," jelasnya.

Beliau memberitahu, AES yang menggunakan teknologi radar berlainan dengan kamera perangkap kelajuan yang digunakan polis kerana AES boleh beroperasi secara automatik 24 jam.

Tambahnya, alat itu juga boleh merakam gambar semua kenderaan yang dipandu melebihi had laju di satu-satu lokasi dan ia juga boleh berfungsi dalam bentuk gambar atau video.

Tiada ulasan: