Jumaat, 20 November 2009

JKM akan siasat pengislaman 'Siti Hasnah'

Jimadie Shah Othman


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyiasat dakwaan berlakunya pengislaman kanak-kanak bukan Islam di sebuah rumah kebajikannya di Pulau Pinang 10 tahun lalu.

NONE"Kita kena siasat dulu perkara ini. Kita kena dapatkan penjelasan pihak berkenaan terlebih dahulu," kata jurucakapnya hari ini.

Beliau diminta mengulas kes S Banggarma, atau nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah yang mendakwa Rumah Kebajikan Taman Bakti, Kepala Batas telah menukar agamanya kepada Islam ketika umurnya tujuh tahun, pada 1989.

Beliau dilaporkan mendakwa hanya menyedari mengenai perkara itu ketika hendak mendaftarkan perkahwinannya pada tahun 2000.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Jurucakap itu berkata, jika benar perkara itu berlaku, ia di luar pengamalan standard JKM.

Katanya, tidak pernah menjadi amalan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menukar agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

"Bila seorang kanak-kanak dihantar ke rumah kebajikan, kalau namanya Lingam misalnya, dan dia beragama Hindu, kita akan beri ruang kepadanya mengamalkan agamanya.

"Kita akan bawa dia ke kuil dan mengamalkan upacara keagamaannya," katanya.

NONEBagi kanak-kanak yang masih bayi pula, tambahnya, JKM akan meminta bantuan pihak hospital untuk mengenalpasti bangsanya dan dibesarkan melalui agama kebiasaan bangsa itu.

"Kita boleh kesan melalui warna kulitnya. Kalau ada yang mahu mengambil anak angkat, kita akan berikan mengikut bangsanya dan agamanya. Kalau Cina contohnya, kita hanya beri pada keluarga Cina," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan kes tersebut mungkin memakan masa kerana ia berlaku sepuluh tahun yang lalu.

Malaysiakini masih berusaha untuk mendapatkan komen rumah kebajikan tersebut.

Tiada ulasan: