Rabu, 18 November 2009

Jet pejuang asing langgar atap rumah disiasat

BERNAMA


Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) sedang menyiasat punca sebenar kejadian jet pejuang negara itu yang terbang rendah dan menyebabkan sebuah rumah berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang rosak pada 11 Nov lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua pihak akan mengkaji dengan rapi bagi mengetahui sama ada kejadian itu berpunca daripada masalah teknikal ataupun kesilapan manusia.

"Selalunya kemalangan yang membabitkan pesawat berpunca kepada kesilapan manusia, namun kita tidak menolak kadang kala berpunca dari segi teknikal pesawat itu sendiri namun kita akan siasat terlebih dahulu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dua syarikat iaitu Mutiara Rini Sdn Bhd bersama Leejin Sdn Bhd berkaitan projek perumahan di Damansara hari ini.

Pada kejadian pukul 3 petang 11 Nov lepas, sebuah rumah di Kampung Setol, Butterworth mengalami kerosakan atap dan dinding selepas jet pejuang jenis F-15 Eagle milik USAF melakukan penerbangan rendah selepas berlepas dari pangkalan itu untuk menjalani latihan.

Difahamkan, kedudukan rumah itu agak hampir dengan hujung landasan dan kemungkinan kerosakan tersebut berpunca daripada tekanan angin dan kuasa supersonik yang dihasilkan oleh pesawat itu semasa melakukan penerbangan taktikal.

Tiada ulasan: