Isnin, 16 November 2009

Jemaah Malaysia kirim pulang 300 tan bagasi

UTUSAN ONLINE


MEKAH - Jemaah haji dari Malaysia dijangka mengirim pulang antara 250 hingga 300 tan bagasi pada musim haji tahun ini dan jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya sebanyak 200 tan.

Antara barang yang paling banyak dikirimkan ialah air zam-zam yang dijangkakan sebanyak 260,000 liter dan separuh daripada jumlah itu adalah untuk diagihkan oleh Tabung Haji kepada setiap jemaah secara percuma iaitu sebanyak lima liter seorang.

Tabung Haji melalui anak syarikatnya, TH Travel & Services (TH Travel) telah melantik tiga syarikat dari Malaysia iaitu Pos Malaysia, Nationwide dan Kumpulan Al-Ramal untuk mengendalikan proses pengiriman bagasi tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel, Mejar (B) Mohd. Ramli Othman berkata, ketiga-tiga syarikat tersebut diberi tanggungjawab mengendalikan urusan penghantaran bagasi dan air zam-zam mengikut zon-zon yang mengandungi beberapa buah maktab penginapan jemaah sama ada di Mekah atau Madinah.

Setakat ini, menurut beliau, sebanyak 87.2 tan bagasi dan hampir 5,000 botol (50,000 liter) air zam-zam sudahpun dikirim ke tanah air terutama melalui Madinah.

Mohd. Ramli berkata, pada peringkat awal banyak bagasi dikirim melalui Madinah kerana sebahagian besar jemaah Malaysia memasuki kota itu terlebih dahulu dan keadaan itu akan berubah apabila ramai jemaah berada di Mekah.

''Kita tak nak ada syarikat yang cuba memonopoli urusan bagasi ini, selain memberi kepercayaan kepada syarikat Malaysia sendiri menguruskan perkara itu," katanya kepada pasukan media Tabung Haji di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, harga yang ditetapkan oleh TH Travel untuk pengiriman bagasi ialah 15 riyal (RM15) bagi satu kilogram bagasi ke Semenanjung Malaysia, manakala ke Sabah dan Sarawak kadarnya sebanyak 20 riyal.

''Bagi penghantaran 10 liter air zam-zam pula, kadar yang ditetapkan ialah 120 riyal (RM120) bagi Semenanjung Malaysia dan RM125 riyal untuk Sabah serta Sarawak," ujarnya.

Bagaimanapun, ada syarikat yang menetapkan kadar lebih rendah iaitu hanya 11 riyal bagi setiap kilogram bagi menarik lebih banyak jemaah menggunakan perkhidmatan mereka. -

Tiada ulasan: