Rabu, 4 November 2009

Jemaah kena sihat sebelum tiba di Makkah: Tabung Haji

BERNAMA


Makkah – Jemaah haji Malaysia dinasihati supaya sentiasa menjaga kesihat- an diri sejak berada di tanah air lagi supaya mereka tidak mengalami sebarang masalah ketika berada di tanah suci nanti.

Bagi jemaah yang mengalami penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi, mereka dinasihati supaya sentiasa mematuhi preskripsi pengambilan ubat yang ditetapkan oleh doktor sebelum berangkat dan setelah berada di tanah suci.

“Ini bagi mengelakkan jemaah haji daripada mengalami pelbagai komplikasi kesihatan apabila berada di tanah suci disebabkan perubahan cuaca,” kata Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Ahmad Faudzi Yusoff kepada petugas media Tabung Haji yang meninjau kemudahan yang terdapat di Hospital Tabung Haji di kawasan Aziziah, 5 kilometer (km) dari Masjidil Haram.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah haji yang mendapatkan rawatan di klinik yang disediakan di tempat penginapan (Maktab Tabung Haji) mengalami batuk, selesema, demam, kulit kering dan masalah pernafasan dan sakit otot terutama dalam kalangan jemaah haji yang berusia.

Sehingga kini hampir 12,000 daripada 26,000 jemaah haji Malaysia berada di tanah suci dan secara keseluruhannya mereka berada dalam keadaan sihat.

Dr Ahmad Faudzi berkata, setiap maktab Tabung Haji mempunyai klinik yang beroperasi sehingga 10 malam bagi merawat kes ringan manakala bagi kes yang memerlukan rawatan lanjut atau pemerhatian khas, jemaah haji berkenaan akan dirujuk ke hospital Tabung Haji di Aziziah.

Beliau berkata hospital di Aziziah menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan rawatan pemerhatian dengan pengkhususan kepada kes kardiovaskular dan mental serta menyediakan pelbagai kemudahan seperti farmasi, ambulans, x-ray serta fisioterapi dengan kekuatan 25 orang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan serta kakitangan sokongan yang lain hospital di Aziziah yang telah memberi khidmat kepada jemaah haji sejak lebih 30 tahun mempunyai 80 katil dan mampu memberi rawatan separa kronik kepada jemaah haji.

Dr Ahmad Faudzi berkata, sebuah lagi hospital Tabung Haji di kota Makkah terletak di kawasan Syisya, 2 km dari Jamrah juga menawarkan perkhidmatan yang serupa seperti di Hospital Aziziah.

Tiada ulasan: