Sabtu, 21 November 2009

Jemaah haji dunia guna e-Hajj

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA


KUALA LUMPUR - Jemaah haji dari seluruh dunia bakal menggunakan tag berteknologi tinggi menerusi Sistem Pengesanan Jemaah 'e-Hajj' ciptaan syarikat Malaysia pada masa depan jika penggunaannya diluluskan Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, penggunaan tag itu mampu mengesan pergerakan setiap jemaah dan bagasi masing-masing, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan mereka.

Beliau berkata, tag itu dicipta menggunakan teknologi Pengesanan Frekuensi Radio (RFID).

"Perkara ini masih dalam perbincangan dengan Kerajaan Arab Saudi.

"Jika diluluskan, Malaysia merupakan satu-satu negara yang diberi hak menawarkan teknologi ciptaan tempatan ini untuk kegunaan jemaah haji dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan kumpulan perintis jemaah haji yang menggunakan tag berteknologi tinggi tersebut di Kompleks Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya di sini hari ini.

Projek perintis itu menyaksikan 5,000 jemaah tempatan menggunakan 10,000 tag e-Hajj agar keselamatan dan keselesaan mereka di Mekah dan Arafah lebih terjamin.

Menurut Mashitah, kerajaan yakin penggunaan teknologi terbaru itu bakal diterima baik Kerajaan Arab Saudi memandangkan mulai tahun depan atau selewat-lewatnya 2011, keseluruhan jemaah haji di rantau Asia Tenggara akan menggunakan sistem berkenaan.

Jelasnya, pada masa ini, Kerajaan Arab Saudi sedang memantau dengan teliti keberkesanan sistem itu yang mampu mengurangkan kos operasi, membantu pengumpulan data secara tepat, memudahkan proses pengesan bagasi serta meningkatkan sistem kawalan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, e-Hajj merupakan projek usahasama anak syarikat milik Lembaga Tabung Haji dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menggunakan cip MM iaitu sebuah cip hasil pemerolehan teknologi Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, penggunaan tag tersebut terhadap jemaah haji Malaysia merupakan usaha terkini Tabung Haji bagi menambah baik mutu perkhidmatan.

"Sistem ini akan meningkatkan kelicinan dan keberkesanan operasi pengurusan Tabung Haji kerana ia memudahkan proses pelepasan dan ketibaan. Malah, penginapan hotel serta bas di tanah suci juga menggunakan aplikasi tag sama," katanya.

Bagaimanapun, Mashitah memberitahu, masih terlalu awal menjelaskan kos operasi yang mampu dijimatkan melalui penggunaan sistem tersebut memandangkan ia masih di peringkat perintis.

Sementara itu, menurut Pengerusi Sentech Sdn. Bhd., Tan Sri Ahmad Zaharudin Idrus iaitu syarikat yang bertanggungjawab mencipta teknologi tersebut, pihaknya kini sedang berusaha meningkatkan keupayaan e-Hajj agar boleh digunakan dalam sistem perbankan.

Jelasnya, selain itu, buat masa ini penggunaan tag tersebut hanya diperkenalkan kepada jemaah haji tetapi pada masa depan ia akan diperluas kepada jemaah umrah.

"Kami yakin dapat mengembangkan sistem ini kerana penggunaannya terhadap jemaah Malaysia ternyata memberi kesan yang sangat positif kepada Tabung Haji.

"Ini sudah pasti akan membuka mata pihak luar terutamanya Kerajaan Arab Saudi," jelasnya.

Tiada ulasan: