Isnin, 2 November 2009

Jawatankuasa Disiplin Pas serah surat bantu siasatan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Pas akan menyerahkan surat kepada tiga pemimpin parti itu, hari ini untuk membantunya menyiasat tuduhan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketiga-tiga mereka perlu memberi maklum balas secepat mungkin selepas menerima surat itu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan susulan.

Beliau yang juga Naib Presiden parti bagaimanapun enggan mendedahkan nama tiga individu yang akan dipanggil itu dan berharap semua pihak memberi peluang kepada Pas menyelesaikan kemelut yang dihadapinya.

“Kita akan serahkan bermula Isnin (hari ini) kepada individu yang dimaksudkan. Apabila mereka menerima surat itu, mereka hendaklah tampil kepada jawatankuasa disiplin bagi membolehkan keterangan diambil dan membantu kami merungkai beberapa perkara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, jawatankuasa itu berkata sudah mengenal pasti beberapa pihak, termasuk Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali untuk ‘membela’ diri berhubung tuduhan yang dibangkitkan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam blognya, http://www.blogtokguru.com mahu ‘beberapa kerat’ pemimpin parti itu ‘dibersihkan’ daripada parti itu kerana menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Antara nama disebut Nik Aziz ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali dan Dr Hassan.

Berikutan kenyataan Nik Aziz itu, Jawatankuasa Pas Pusat mengambil keputusan mengadakan seminar politik pada 7 November ini di Markas Pas Taman Melewar bagi membincangkan isu berkaitan untuk memperkasakan parti.

Tuan Ibrahim berharap semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai tindakan Jawatankuasa Disiplin parti itu kerana ia adalah prosedur biasa apabila berlaku kemelut di dalam sesebuah parti.

“Tiada apa yang perlu diperbesarkan kerana mereka yang dipanggil itu hanya dijemput untuk membantu, selain memberi maklumat yang kita perlukan,” katanya.

Ditanya bila keputusan jawatankuasa itu akan diperoleh, beliau berkata ia akan disiapkan dalam tempoh 14 hari selepas ketiga-tiga individu terbabit tampil memberi maklumat.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata Dewan Pemuda mengambil sikap berkecuali berhubung kedudukan pemimpin parti itu yang akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan berkenaan.

Tiada ulasan: