Selasa, 3 November 2009

Jangan abai teguran Ketua Audit Negara

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Teguran-teguran yang dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara perlu diambil perhatian serius oleh penjawat awam supaya tindakan pembaikan dan pembaharuan dapat dilakukan dengan segera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengabaian terhadap laporan itu akan menyebabkan rakyat menganggap kerajaan tidak serius terhadap kesalahan yang dilakukan oleh sektor awam.

''Teguran yang diberikan itu bukan perkara biasa dan jika ia masih berulang, mungkin rakyat akan menganggap kita tidak serius.

''Rakyat juga akan menganggap kerajaan tidak mengambil peduli laporan yang dibuat oleh pasukan yang sentiasa memantau kerja-kerja kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, kakitangan awam tidak boleh mengabaikan perancangan yang telah dirangka kerana ia menjadi ukuran sejauh mana mereka mengamalkan budaya berprestasi tinggi.

Malah beliau mahu langkah lebih radikal diambil oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pendidikan di negara ini dapat melahirkan modal insan yang berkualiti.

Katanya, ini termasuk berfikir di luar kotak pemikiran biasa selain tidak terikat dengan sebarang kongkongan.

''Apa yang kita buat mesti dengan perancangan yang tersusun terutama membabitkan bidang-bidang yang berinovasi dan ini perlu difikirkan secara mendalam.

''Kita tidak harus berfikir secara biasa sebaliknya mengambil pendekatan inovasi bagi menjana hasil yang lebih tinggi," katanya.

Tiada ulasan: