Rabu, 11 November 2009

Jambatan runtuh: Guru trauma diberi kaunseling

BERNAMA


Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi bersetuju agar semua guru yang trauma akibat kejadian jambatan gantung runtuh yang mengorbankan nyawa tiga murid di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, di Kampar bulan lepas diberikan khidmat kaunseling.

Beliau berkata khidmat kaunseling terhadap guru-guru berkenaan akan dapat mengembalikan semangat mereka yang tertekan akibat kejadian itu.

"Saya bersetuju supaya guru-guru berkenaan terutamanya yang terlibat secara langsung dengan kejadian tersebut diberikan kaunseling supaya mereka merasakan bahawa sebenarnya mereka juga bertanggungjawab untuk menghadapi cabaran yang begitu rumit.

"Walau apapun, saya mempertahankan bahawa guru berkenaan tidak boleh dipersalahkan sebab kejadian itu bukan disebabkan kelalaian di pihak guru berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Penyelidikan Pendidikan Guru Peringkat Kebangsaan di Ipoh hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yang menggesa Kementerian Pelajaran menghantar kaunselor bagi menangani trauma di kalangan guru berkenaan, selain membantu murid dan ibu bapa yang terbabit dalam insiden itu yang juga mengalami masalah sama.

Hashim dilaporkan berkata hasil pertemuan NUTP dengan guru berkenaan baru-baru ini juga mendapati guru berkenaan berasa diri mereka bersalah dan dipandang serong masyarakat setempat seolah-olah guru mengakibatkan kejadian itu.

Sementara itu, Mohd Puad berkata jawatankuasa siasatan kejadian jambatan gantung runtuh berkenaan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom sudah menyiapkan laporan mereka dan diserah kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pelajaran.

"Saya rasa dalam masa terdekat timbalan perdana menteri akan mengumumkan laporan penuh yang telah disediakan oleh jawatankuasa tersebut," katanya.

Tiada ulasan: