Khamis, 5 November 2009

'Jais guna kuasa untuk elak berhujah secara ilmiah'

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : Sokongan kepada bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bertambah lagi apabila dua badan bukan kerajaan, Forum Profesional Muslim (MPF) dan Barisan Perubahan Islam (IRF) melahirkan sokongan kepada Asri dan mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Badan tersebut mengkritik Jais sebagai menggunakan kuasa kerana tidak mampu untuk berdabat secara ilmiah dalam menangani isu pentauliahan Asri untuk mengajar agama di negeri Selangor.

Mengulas serbuan yang dilakukan ke atas majlis agama oleh Asri itu, kenyataan itu menjelaskan bahawa "tindakan Jais ini hanya menzahirkan bahawa institusi itu tidak bersedia dan berkemampuan untuk berhujah dengan pengkritiknya di pentas intelektual dan terpaksa beralih kepada penggunaan kuasa kekerasan."

Menurut kenyataan itu lagi, alasan pentauliahan Asri yang dijadikan alasan Jais bercanggah dengan "prinsip kebebasan intelektual" yang dilihat sepanjang sejarah Islam, dan ini memudahkan pengkritik jabatan agama itu untuk menuduhnya sebagai alat "segelintir tokoh-tokoh agama" untuk memaksa pandangan mereka diterima.

MPF dan IRF juga dalam kenyataan itu menggesa kumpulan dan gerakan Islam menerima kebebasan pendapat dengan menghadapi perbezaan melalui hujah dan mengelakkan serangan peribadi.

Kenyataan ini meningkatkan lagi sokongan kepada tokoh agama popular itu dan meletakkan Jais dalam kedudukan defensif, ditambah dengan sokongan terbuka pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh berpengaruh daripada pelbagai latar politik terhadap Asri.

_

Tiada ulasan: