Jumaat, 13 November 2009

Isu tren DMU: SPRM ambil dokumen di Kem. Pengangkutan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Beberapa dokumen dari pejabat Kementerian Pengangkutan diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu pembelian empat set tren Diesel Multiple Units (DMU) terpakai pada harga RM30 juta yang dikatakan terlalu tinggi.

Menurut sumber, dokumen-dokumen tersebut diambil dari kementerian itu semalam untuk dikaji bagi tujuan siasatan.

Bagaimanapun, sumber terbabit enggan mengulas lanjut perkembangan siasatan itu.

Pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, beberapa ahli Parlimen menyifatkan pembelian empat set tren DMU terpakai berusia 20 tahun pada harga RM30 juta itu tidak masuk akal apatah lagi usia DMU berkenaan sudah hampir 'putus darah'.

Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz mendesak SPRM supaya menyiasat Kementerian Pengangkutan berhubung pembelian berkenaan.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan semalam menafikan pembelian set tren DMU terpakai itu lebih mahal berbanding yang dibeli oleh Costa Rica dan Argentina.

Menurut kenyataan kementerian itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membeli DMU pada harga Euro 1.492 juta (RM7.56 juta) setiap set berbanding Euro 2 juta (RM10.14 juta) oleh kedua-dua negara terbabit bagi setiap set.

Kenyataan itu juga menyebut harga sebenar bagi pembelian empat set DMU terpakai oleh KTMB adalah Euro 6.6 juta (RM33.5 juta).

Tiada ulasan: