Khamis, 5 November 2009

Isu saman antara Dr Asri dan PGSM selesai - Jamil Khir

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Isu saman antara bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kini dianggap selesai setelah kedua-dua pihak itu bermusyawarah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Dr Mohd Asri dan PGSM mengadakan pertemuan dan bermusyawarah tengah hari tadi di hotel Palace of Golden Horses di Seri Kembangan dekat sini.

"Ini satu perkembangan positif dan InsyaAllah nanti kenyataan akhbar PSGM akan diberikan dan semangat sebeginilah yang sepatutnya ada di kalangan umat Islam," katanya.

Dr Mohd Asri dalam keterbukaannya setuju dengan cadangan perdamaian, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Lembaga Pemegang Amanah (MALPA) Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) di sini.

Bekas mufti itu dilaporkan akan mengemukakan saman terhadap PGSM kerana persatuan itu dikatakan membuat serangan peribadi terhadapnya dalam satu memorandum bertarikh 12 Okt lepas kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Ketika ditanya mengenai cadangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) supaya ditubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyelesaikan isu pertembungan beberapa aliran pemikiran di kalangan umat Islam di negara ini, Jamil Khir berkata ia adalah satu cadangan yang baik.

Menteri itu juga menjelaskan bahawa hak untuk mengeluarkan pertauliahan kepada seseorang ulama adalah terletak kepada sesebuah kerajaan negeri.

Mengenai Yayasan Wakaf Malaysia yang ditubuhkan pada 23 Julai 2008 di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Jamil Khir berkata ia untuk menyatu dan mengembleng sumber-sumber wakaf supaya dapat dijadikan sumber modal ekonomi berpontensi tinggi.

JAWHAR bertanggungjawab membangunkan wakaf yang bersifat tanah atau tunai untuk digerakkan bagi pembangunan umat Islam, katanya.

Katanya kebanyakan sumber wakaf adalah berbentuk tanah yang nilainya hampir RM1.9 bilion.

Beliau berkata antara projek yang akan dimajukan Yayasan Wakaf ialah pembinaan kedai-kedai wakaf rakyat dan pusat bazar peniaga yang akan dibina di hartanah wakaf di seluruh negara.

Projek seperti pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang, klinik, bilik dan rumah penginapan juga akan dibangunkan di persekitaran masjid yang terpilih.

"Contohnya kalau kita tengok di Damansara, ada beberapa masjid yang telah bangunkan kafe dalam kawasan masjid termasuk rumah atau bilik untuk penginapan yang harganya murah.

"Contoh di Johor dan Pahang, mereka telah bina klinik dan hospital. Mereka menguruskan banyak pesakit yang bukan hanya orang Islam sahaja tetapi termasuk juga yang bukan Islam dan kawasan klinik dan hospital yang ada di Johor dibina dalam persekitaran masjid termasuk juga pusat-pusat hemodialisis," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan Yayasan Wakaf akan memanfaat dan menggunakan tanah wakaf yang sedia ada dengan sebaik mungkin bagi manfaat umat Islam keseluruhannya.

Tiada ulasan: