Rabu, 11 November 2009

Isu Penyerahkan Semula Kontrak Pelupusan Sisa Pepejal di Ampang Jaya Panaskan Sidang Dewan Selangor

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: Isu mengenai keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk menyerahkan balik kontrak pelupusan sisa pepejal di kawasan Ampang Jaya kepada 12 kontraktor dua minggu selepas kontrak mereka ditamatkan telah menarik perhatian ramai pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.

Ini kerana isu tersebut telah dibangkitkan oleh orang kuat PKR yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang meminta penjelaskan bagaimanakah perkara ini boleh berlaku kerana ia memperlihatkan sikap tidak konsisten Kerajaan Negeri dan juga tidak mengambil kira akan kepentingan orang-ramai.

Azmin menyatakan rasa tidak senangnya mengenai keputusan tersebut kerana perkhidmatan 12 kontraktor berkenaan disifatkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPSJ) sebagai tidak memenuhi piawaian dan tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Malah, Azmin mendedahkan apa yang lebih mengecewakan ialah, keputusan untuk mengekalkan semula kesemua 12 kontraktor berkenaan dilakukan selepas MPAJ melantik dua kontraktor baru bagi menguruskan sisa pepejal di Ampang Jaya.

“Saya nak tahu siapa yang mengarahkan supaya kontrak 12 kontraktor ini dikembalikan semula,” katanya dalam nada yang tidak puas hati.

Dalam hubungan ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri, Datuk Dr Hassan Ali kemudiannya bangun memberikan penjelasan.

Katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan melainkan untuk mengekalkan semula 12 kontraktor berkenaan atas sebab-sebab teknikal sebagaimana yang termaktub di dalam kontrak mereka dengan kerajaan negeri.

Katanya, akibat daripada masalah tersebut, MPAJ tidak dapat membatalkan kontrak mereka berdasarkan satu perjanjian yang ditandatangan di antara Alam Flora dengan syarikat-syarikat ini.

Bagaimanapun Azmin bangun membidas dengan berkata, gambaran yang diberikan oleh Dr Hassan mengenai keupayaan Alam Flora tidak selari dengan gambaran yang sebenarnya tentang apa yang berlaku di bawah.

Dalam hal ini, Dr Hassan menjelaskan, pada asasnya kerajaan negeri berpuashati dengan perkhidmatan Alam Flora cuba terdapat beberapa aduan atau rungutan berhubung mutu kerja kontraktor di bawah Alam Flora yang tidak cekap.

“Untuk mengatasi masalah ini dengan cepat dan berkesan, pihak berkuasa tempatan hendaklah menjalin kerjasama yang erat dengan kontraktor utama seperti Alam Flora supaya pemantauan ke atas kerja mereka dapat dilakukan dan sebarang isu dapat diselesaikan dengan segera. Dan Alam Flora pula kenalah terbuka kepada kritikan supaya para kontraktor di bawah seliaan mereka dapat memperbaiki mutu perkhidmatan,” kata Dr Hassan.

Tiada ulasan: