Isnin, 9 November 2009

Isu kepala lembu: MB tempelak ADUN BN

Salhan K Ahmad


Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim menempelak ADUN Sungai Pelek kerana kelihatan seolah-olah tidak mengetahui siapakah pihak yang bertanggungjawab mengadakan 'demonstrasi kepala lembu' akhir Ogos lalu.

Khalid bagaimanapun enggan menamakan "mereka" yang dikatakan terlibat di belakang peserta demonstrasi berkenaan, berpunca daripada isu pemindahan sebuah kuil di Shah Alam.

Menjawab soalan lisan ADUN BN tersebut, Yap Eee Wah mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan insiden demonstrasi itu tidak berulang Khalid berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat.

Usaha kerajaan untuk memulihkan suasana antara kaum ekoran isu tersebut bagaimanapun telah "dihalang" oleh pihak terbabit, kata Khalid lagi.

"Sungai Pelek tahu siapa mereka yang terlibat bukan membantu usaha untuk menyelesaikan masalah tetapi mengeruhkan lagi suasana," katanya ketika membahaskan usul belanjawan Selangor di sidang DUN hari ini.

Khalid berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan kumpulan yang bertanggungjawab mengadakan demonstrasi berkenaan.

"Saya dapati telah ada kesedaran bahawa tindakan kita itu mengambil kira kehendak masyarakat setempat. Kita beri jaminan supaya diberi keadilan dari segi kebebasan beragama dan bina tempat untuk beribadat.

"Langkah ini kita ambil supaya rakyat Selangor faham usaha kita untuk selesaikan masalah," katanya lagi.

khalid ibrahim pc 120809 01Menteri besar berkata, usaha tersebut bagaimanapun boleh dihalang oleh tindakan pihak yang tidak berfikir secara matang bahawa tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Menjawab soalan tambahan Yap yang meminta Khalid menjelaskan siapakah pihak yang dimaksudkan itu, menteri besar berkata, golongan tersebut merupakan kumpulan daripada parti Umno.

Menurutnya, mereka yang melanggar undang-undang telah dihadapkan ke mahkamah, "jadi tak perlu bahaskan".

Katanya lagi, kumpulan berkenaan bagaimanapun boleh dikenalpasti daripada maklumat diri kumpulan yang didakwa itu.

"Data itu menunjukkan mereka daripada parti Umno, namun sama ada mereka perkauman, ini kita kena bagi peluang untuk mereka nyatakan pendirian di mahkamah," katanya lagi.

Tiada ulasan: