Jumaat, 6 November 2009

Isu Dr Asri: PGSM Pertahan Memorandum, Tiada Permohonan Maaf

Dakwa mungkir janji tidak dedah hasil pertemuan kepada media



Presiden Jemaah Islam Malaysia, Zaid Kamarudin (kanan), Presiden
PGSM, Mohamad Isa Abdul Ralip (tengah), Penasihat PGSM, Ahmad Burok
(kiri) dalam sidang akhbar pada hari ini.

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) tetap dengan pendirian untuk mempertahankan kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong berikutan bantahan terhadap penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Zainul Abidin.

Presiden PGSM, Mohamad Isa Abdul Ralip berkata PGSM tidak akan menarik balik tuduhan yang terkandung dalam memorandum berkenaan.

Malah tiada sebarang permohonan maaf secara terbuka berhubung isu berkenaan.

"PGSM hanya menarik balik penyiaran memorandum berkenaan dari laman web rasmi yang telah pun kami lakukan sebelum Mohd Asri mendedahkannya kepada media.

"Sebaliknya kami difahamkan bahawa beliau sendiri yang membuat salinan memorandum berkenaan dan menyiarkannya dalam blog peribadi beliau serta mengedarkannya kepada pihak media dan pihak-pihak lain," katanya dalam sidang media khas di pejabat PGSM di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam sidang media berkenaan, Mohamad Isa tidak membuka ruang soal jawab kepada media.

Penjelasan yang diberikan Mohamad Isa itu ternyata berbeza dengan hasil pertemuan tertutup antara beliau, Mohd Asri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz yang diadakan di ibu negara semalam.

Mohd Asri sendiri semalam berkata hasil pertemuan tersebut, PGSM sedia menarik balik memorandum berkenaan serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada beliau.

Malah melalui salinan draf yang dimuatkan dalam laman web Mohd Asri juga menyatakan kesediaan PGSM untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu Mohamad Isa mendakwa Mohd Asri telah memungkiri perjanjian supaya kandungan pertemuan tersebut tidak didedahkan kepada media.

"PGSM amat kesal dengan tindakan Mohd Asri yang memungkiri perjanjian penyelesaian secara musyawarah yang dipengerusikan oleh Datuk Jamil Khir... perbuatannya itu jelas tidak menghormati menteri yang bertindak sebagai mediator.

"Dalam pertemuan semalam, PGSM telah bersetuju untuk menamatkan konflik yang tercetus demi kemaslahatan (faedah) dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.

"Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk tidak memberi sebarang kenyataan media bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam negara ini," katanya.

Resolusi berkenaan dicapai dalam satu mesyuarat khas antara PGSM dan sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan sebelum sidang media berkenaan.

Malah Mohamad Isa juga berkata selepas isu ini timbul, PGSM terus mendapat sokongan yang lebih besar daripada beberapa NGO Islam, tokoh agama, kumpulan pelajar Islam dan golongan pendakwah.

Tiada ulasan: