Isnin, 2 November 2009

Ini kerja JAIS, kata Dr. Hasan Ali

Oleh Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM: - Ini kerja Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kerajaan negeri tidak boleh masuk campur, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr. Hasan Ali merujuk penahanan bekas Mufti Perlis malam tadi.

Sebaliknya, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, semua masalah yang berkaitan dengan JAIS perlu dirujuk kepada pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Katanya, ketika ditemui di pejabat beliau di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, disini, selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Gombak Setia juga menegaskan, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penangkapan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin kerana dikatakan tidak mempunyai tauliah.

Penangkapan penceramah itu dilakukan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang semalam ketika menyampaikan tazkirah kepada lebih 300 hadirin.

Tiada ulasan: