Isnin, 2 November 2009

Idea baik tapi tidak mudah dilaksanakan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, cadangan mewujudkan sekolah satu aliran merupakan idea yang baik tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.

Menurut beliau, rakyat seharusnya memikirkan dengan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk melakukan perubahan tanpa adanya sokongan dan kesediaan untuk menerima.

"Saya dulu pun semasa menjadi Menteri Pelajaran, pernah berfikir mengenai hal ini juga.

"Tetapi perkara ini tidak mudah, kalau kita buat juga, lepas itu orang tolak, ini akan jadi kelam-kabut," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis 'Jom Pi Raya' anjuran Persatuan Kebajikan Anak Melayu Pulau Pinang di Wilayah Persekutuan dan Selangor di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Tun Jeanne Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Presiden Persatuan Kebajikan Anak Melayu Pulau Pinang di Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Zainul Azman Zainul Aziz.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia melaksanakan dasar sekolah satu aliran sekiranya itu kehendak rakyat negara ini.

Tegas Perdana Menteri, dalam melaksanakan dasar itu, kehendak rakyat perlu diambil kira kerana kerajaan tidak mahu ia menyebabkan perbalahan dan kesan buruk kepada masyarakat.

Najib berkata, tiada gunanya dasar sekolah satu aliran diperkenalkan jika akhirnya ia boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara kaum.

Sementara itu, Zainul Azman berkata, majlis yang dianjurkan pada setiap tahun itu adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara anak-anak kelahiran Pulau Pinang yang kini berhijrah di Lembah Klang.

"Kita mempunyai keahlian sebanyak 500 orang dan bergiat aktif dalam memberikan kebajikan dan biasiswa kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis tanah air termasuklah Jamal Abdillah, Imuda dan Shereen.

Tiada ulasan: