Ahad, 22 November 2009

Hassan Ali belum beri keterangan

Oleh Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali belum dipanggil bertemu Jawatankuasa Disiplin parti itu berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika mengesahkan perkara itu, berkata Jawatankuasa Pas Pusat juga belum mendapat sebarang makluman mengenai tindakan lanjut oleh Jawatankuasa Disiplin parti yang sebenarnya tidak diberikan sebarang tempoh untuk menyelesaikan kes terbabit.

Katanya, Jawatankuasa Pas Pusat percaya dengan kebijaksanaan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini sedang mengerjakan ibadat haji di Makkah.

“Setahu saya, Hassan belum dipanggil dan saya juga tidak pasti bila surat tunjuk sebab diserahkan kepadanya tetapi beliau perlu jawab surat itu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh terima,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar pada 9 November lalu melaporkan Pesuruhjaya Pas Selangor itu berdepan tindakan disiplin parti sehingga boleh digugurkan daripada jawatan disandangnya kini sekiranya gagal ‘membela’ diri dalam tempoh ditetapkan.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, selain Hassan ada juga beberapa pemimpin lain turut disiasat jawatankuasa itu atas beberapa tuduhan, tetapi tidak mendedahkan nama pemimpin berkenaan.

Jawatankuasa Disiplin Pas dilaporkan menyerahkan surat kepada tiga pemimpin parti itu pada 2 November lalu, sekali gus tempoh menjawab surat tunjuk sebab berkenaan sudah pun tamat.

Siasatan itu ekoran dakwaan yang mengaitkan Hassan dan beberapa pemimpin parti itu dikatakan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno selain berusaha membawa Pas menyertai Umno.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang dihubungi, enggan mengulas isu berkenaan, sekadar memaklumkan beliau berada di Makkah dan hanya akan kembali ke tanah air awal bulan depan.

Tiada ulasan: