Khamis, 5 November 2009

Harga ikan kelah RM80 hingga RM100 sekilogram berpatutan

MYMETRO


KUALA TERENGGANU: “Mungkin dia baru pertama kali makan ikan kelah dan tidak tahu kenikmatannya yang setanding dengan harga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini semalam selepas seorang pengurus hotel di Mersing, Johor mendakwa tertipu apabila harga ikan Kelah dinyatakan di sebuah kedai makan di Kampung Gaung, Kuala Berang RM80 sekilogram.

Bagaimanapun, sebaik selesai makan dan bertanyakan harganya kepada pembantu gerai, dia terkejut apabila diberitahu ikan itu yang tidak sampai setengah kilogram berharga RM100.

Tidak puas hati dengan harga itu, dia berjumpa pemilik gerai makan yang kemudiannya mengesahkan harga ikan berkenaan RM100 dan harga RM80 yang dipamerkan itu harga lama.

Mohd Zawawi berkata, bagi penggemar ikan kelah, mereka tidak kisah dengan harga ditawarkan kerana ia munasabah dengan statusnya sebagai raja ikan selain sukar ditangkap, malah beliau juga tidak pernah mendengar sebarang rungutan mengenai harga ikan berkenaan sebelum ini.

Katanya, mungkin berlaku salah faham apabila harga RM80 dinyatakan ialah bagi ikan kelah mentah dan apabila dimasak ia dijual dengan harga RM100 sekilogram.

“Saya dimaklumkan harga ikan kelah yang dijual di sekitar kawasan ini (Kuala Berang) berpatutan. Kalau orang yang faham kenikmatan raja ikan itu, mereka tidak akan merungut kerana sedar ia sukar didapati selain dikawal ketat pihak berkuasa sekarang.

“Malah bukan semua lokasi di Tasik Kenyir yang berhampiran Kuala Berang dibuka kepada umum untuk menangkap ikan kelah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Menurutnya, meskipun ada pihak mendakwa harga ikan itu mahal, namun beliau mendapati kedai makan di Kuala Berang yang menyediakan juadah itu masih tetap dikunjungi ramai pelanggan termasuk dari Kuala Terengganu, Marang dan Dungun semata-mata untuk menikmati ikan berkenaan.

Selain itu katanya, harga antara RM80 hingga RM100 bagi sekilogram ikan Kelah adalah berpatutan dan kadar sama juga dijual di tempat lain.

Tiada ulasan: