Jumaat, 6 November 2009

Harga getah, sawit turun mendadak

SINAR HARIAN ONLINE


PORT DICKSON - Harga komoditi getah dan kelapa sawit didapati menurun dengan mendadak mulai Oktober 2008 hingga September tahun ini.

Merujuk kepada Lembaga Getah Malaysia dan harga Buah Tandan Segar yang dikeluarkan Malaysia Palm Oil Board, harga purata getah hingga September 2009 adalah 570.66 sen sekilo, berbanding tahun lalu, 734.06 sen sekilo.

Manakala bagi harga minyak sawit mentah sehingga September 2009 adalah RM2,235 tan metrik, berbanding tahun lalu bernilai RM3,695 tan metrik.

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, apabila harga purata menurun, secara automatik harga di ladang komoditi menurunan.

“Dari 711.37 sen sekilo untuk getah sekerap pada 2008, kini hanya bernilai 450.66 sen sekilo.

“Manakala harga purata bagi buah tandan segar di ladang turun dari RM503 tan metrik pada 2008, kepada RM321 tan metrik pada tahun ini,” katanya melalui teks ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Memantapkan Produktiviti Getah dan Sawit Untuk Pemaju Masyarakat Risda 2009, di Pusat Latihan Risda (Ristec) di Port Dickson, semalam.

Menurutnya, jika keadaan itu berterusan, kemungkinan besar ramai pekebun kecil akan kembali kepada kelompok miskin tegar.

“Keadaan ini sudah pasti akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil terutamanya kepada mereka di luar bandar mahu pun kepada penduduk kampung yang terlibat dalam industri ini.

“Sebolehnya kita tidak mahu perkara ini terjadi. Justeru Risda yang merupakan ejen pembangunan pekebun kecil sentiasa mengatur strategi untuk membendung perkara ini dari terus berlarutan. Sekurang-kurangnya, kita cuba untuk mengurangkan impak kejatuhan harga komoditi getah dan sawit ini kepada kedudukan ekonomi pekebun kecil,” katanya.

Katanya, Risda akan sentiasa memikirkan dan mengatur program ke arah peningkatan produktiviti pekebun kecil dari semasa ke semasa bagi mengelakkan keadaan yang tidak dingini berlaku.

Tiada ulasan: